Hari ini telah mengadakan misi mencari radiosonde secara solo. Tiga misi pencarian telah dijalankan. Hanya satu sahaja yang berjaya dijumpai. Hanya pelekat sahaja yang telah dijumpai bersama serpihan belon dan winder. Pasti kerja monyet yang menyangkakan makanan.
Belon KLIA pagi tadi radiosonde 2405015811 jatuh di Kampung Kundang, Kuala Langat. Jatuh kawasan kebun Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Jabatan Pertanian Negeri Selangor. Jatuh jam 9:46 pagi. Koordinat 2.71049 darjah Utara dan 101.54388 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 619 m agak tinggi dan ketinggian maksmum 30,916 m.
Meletak kereta di perkarangan Pejabat TKPM Kampung Kundang ini. Kawasan kebun satu lorong sahaja takut menutup laluan jika parkir. Cara yang paling selamat diperkarangan pejabat yang lapang ini. Selepas bersiap dengan beg sandang mengandungi sebotol air. Terus bergerak ke titik akhir. Isyarat radiosonde dapat diterima dengan baik. Namun, setelah mencabut antena terus senyap.
Kawasan kebun di TKPM ini sering dikunjungi belon KLIA. Merujuk kepada rekod lepas, penulis tidak pernah lagi berjaya jumpa belon di kawasan ini. Pelbagai cabaran yang ditempuhi bagi mencarinya di sini. Sekali pandang agak mudah di kawasan lapang seperti ini. Hakikat sebenarnya agak mencabar.
Jarak 1.8m membuktikan telah tiba dititik akhir. Jarum pun bertukar warna hijau bagi GPS Waypoint Finder.
Kawasan kebun lengkuas dipercayai belon berada di kawasan ini. Hanya kawasan ini sahaja menerima isyarat radiosonde agak kuat. Signal strenght hingga 5 bar. Namun, bila cabut antena tiada bunyi pula.
Rakaman video menunjukkan isyarat masih lagi kedengaran di kawasan persekitaran kebun.
Kawasan lapang tanah tidak dikerjakan bersebelahan dengan kebun lengkuas. Memerhati di setiap inci tanah kawasan persekitaran titik titik akhir. Pada mula bergerak ke jangkaan oleh SondeHub. Kawasannya tanaman nenas. Pastilah mencabar belon jatuh ke dalam kawasan nenas. Kebun lengkuas ada pekerja sibuk mengutip hasil. Maklumakan kehadiran tentang pencarian belon kajicuaca. Lupa nak beri nombor telefon kepadanya. Jikalau jumpa bolehlah berkongsi gambar.
Jejak kawasan pencarian belon KLIA pagi tadi di Kampung Kundang. Tanjong Sepat Tactical hasil rekod jam Garmin sejauh 4.72 km bergerak. Tempoh masa 1 jam 29 minit 14 saat. Sebanyak 551 kalori telah dibakar. Kemudian bergerak ke Kampung Endah untuk singgah solat Zohor terlebih dahulu. Usai solat bergerak ke Jalan Nangka hingga persimpangan Jalan Kenangan Lama dan Jalan Ladang Bedford.
Misi kedua ingin mencari radiosonde 2405015804 yang telah jatuh pada malam 30 September 2024 yang lalu. Koordinat 2.71363 darjah Utara dan 101.48028 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 267m dan altitud ketinggian maksimum adalah 29,410m. Meletak kereta di persimpangan tiga tersebut.
Jalan masuk bersebelahan dengan papan tanda Jalan Ladang Bedford. Ada laluan bersebelahan dengan parit. Ada pintu pagar biru kawasan kelapa sawit tua. Kelihatan banyak lembu sedang meragut dalam kawasan tersebut. Kiri dan kanan laluan adalah parit. Banyak kesan tapak haiwan ternakan dan laluan motorsikal sahaja.
Setelah beberapa minit berjalan terserempak dengan sekawan kerbau. Penulispun berlindung di sebalik pokok kelapa sawit sehingga kerbau itu melepasi laluan. Kalau babi liar pasti akan lari terlebih dahulu ketika terserempak dengan manusia. Permulaan laluan sebelum masuk tadi GPS Waypoint Finder menunjukkan jarak lebih 1000m. Berbaki 665m lagi belok ke kiri terus ke titik akhir.
Berbaki jarak 655 m ini telah memasuki kawasan ladang kelapa sawit. Terus ikut laluan terserempak dengan anjing pula. Ia terus lari ke hadapan dan terus hilang dari pandangan mata. Laluan banyak lopak-lopak air serta pelepah kelapa sawit menghalang laluan. Kemudian dari jauh nampak pintu pagar telah ditutup. Semakin menghampiri tak perlu panjat kerana sebelah pintu tersebut boleh dilalui sahaja.
Keadaan laluan yang berlopak air dan licin. Tapak kasut yang digunakan tidak mencengkam. Hanya guna kasut untuk jogging. Kasut untuk trail tidak pakai pada kali ini. Maka, sudah pastilah kasut jogging tidak mencengkam dengan baik pada permukaan tanah.
Melepasi pintu pagar berada di kawasan ladang kelapa sawit yang lain pula. Perbezaan suasana ladang kelapa sawit boleh dijangka dipunyai pemilik yang lain. Setiap kawasan berpagar. Kemudian arah panah mengarah ke kiri lagi. Menghamipiri titik akhir di sebalik parit. Terus mengenal pasti arah belon jatuh. Ia mengarah ke tenggara lalu terus berjalan perlahan-lahan.
Kawasan ladang yang bersih serta berumput hijau. Ini memudahkan pergerakan mencari belon. Setelah beberapa langkah berjaya menemui cebiasan belon serta winder. Tiada pula peranti kelihatan di kawasan sekitar tersebut.
Bahan bukti radiosonde 2405015804 tinggal yang dalam gambar di atas sahaja. Kemudian berlegar mencari apa sahaja yang lain. Akhirnya berjaya menemui bahan bukti utama iaitu pelekat nombor siri radiosonde tersebut. Manakan tidak! belon ini jatuh 30 September 2024 yang lalu. Sudah jumpa serpihan seperti ini pun sudah berbaloi. Alhamdulillah bukti terpenting telah ditinggalkan di situ. Benang kelihatan telah berada di kawasan pengumpulan pelepah kering.
Pelekat bernombor siri ini bukti yang kukuh bahawa belon KLIA telah jatuh di kawasan ini. Kebiasaannya, peranti yang telah hilang dan dimusnah dan dihancurkan adalah kerja yang dilakukan oleh monyet. Sudah pasti! kerana ketika memasuki kawasan ini tadi kelihatan beberapa ekor monyet telah kelihatan di atas pokok. Ini bukanlah pertama kali menemui situasi seperti ini. Sudah banyak kali situasi seperti ini berlaku jika telah ditinggalkan agak lama.
Stesen 9W2DYA-5 boleh dipantau melalui APRS. Penulis mengalu-alukan mana-mana rakan yang ingin turut serta dalam misi mencari belon kajicuaca ini. Pantau sahaja di APRS dan boleh turut serta ketika di mana penulis berada ketika itu. Ada beberapa lagi lokasi belon yang masih belum dicari kerana kekangan masa.
Selepas kerja-kerja perekodan laluan balik menggunakan laluan yang sama. Keadaan laluan pulang yang kiri dan kanan merupakan parit yang mengalir air.
Sempat mengambil video keadaan aliran air parit yang menenangkan hati sambil menikmti alunan deruan air. Kadang suasana seperti ini dapat mententeramkan jiwa dalam kesibukan bekerja seharian. Tempat-tempat terpencil ini turut menjanjikan suasana yang menyeronokkan bagi yang suka akan keindahan alam semulajadi.
Keadaan aliran parit yang sangat jernih. Kelihatan berhadapan pemandangan ladang kalapa sawit tua yang lantai dipenuhi rumput menghijau. Ladang tersebut tempat haiwan ternakan mencari makan. Tiba di kereta terus memberhentikan rekod catatan sepanjang perjalanan dalam misi pencarian ini.
Rekod Morib tactical jarak keseluruhan adalah 4.32 km dalam tempoh masa 1 jam 14 minit 10 saat. Jumlah tenaga yang telah digunakan adalah 489 kalori. Oleh kerana telah menggunakan 1040 kalori bagi dua misi maka ke kedai makanlah jawabnya. Menambahkan tenaga semula ke kedai makan terlebih dahulu.
Misi terkahir berdekatan dengan Masjid KLIA. Usai makan dan mengisi minyak kereta terlebih dahulu. Singgah solat asar di Masjid dekat Kampung Olak Lempit. Usai solat terus ke lokasi misi terakhir.
Radiosonde 2405015804 telah jatuh pada 7 Oktober 2024 jam 21:17 malam. Koordinat 2.79001 darjah Utara dan 101.67342 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 524 m dan altitud ketinggian maksimum 28,783 m.
Meletak kereta di tepi jalan berdekatan laluan masuk ladang dan kebun milik MAB. Kemudian bersiap beg sandang bersama botol air berpatah balik ke jambatan PLUS. Lalu tebing dan menghampiri ladang kelapa sawit. Rupanya ada laluan masuk menggunakan titi untuk melintas parit kecil.
Laluan sawit yang semakin bersemak. Ladang kelapa sawit tidak berjaga sebagai zon penampan sahaja. Kawasan ladang ini semakin mengecil yang dikelilingi pembangunan.
Jejambat yang merentangi Lebuhraya Elite penghubung KLIA. Jambatan Nilai - Labohan Dagang. Kelihatan pokok pakis di tepinya adalah parit.
Kawasan titik akhir bersebelahan dengan parit. Sepanjang memeriksa laluan belon mendarat tidak dijumpai sebarang tanda. Kemungkinan juga memasuki kawasan lebuhraya. Kemungkinan juga melintasi atau menyeberang lebuhraya hingga ke sebelah seberang sana.
Titik akhir diukur jarak 4.1 m berjaya dikesan. Bersebelahan dengan parit bersebelahan lebuhraya Elite KLIA. Memantau terus ke arah belon jatuh.
Pintu gerbang ini sebagai penanda akhir belon mendarat. Sebelah titik akhir mata meliar-liar mencari tanda yang boleh menjadi panduan kewujudann belon mendarat.
Pencarian hingga ke pintu gerbang yang sebagai penanda terakhir belon mendarat. Kemudian berpatah balik ke titik akhir semula. Ada laluan sawit yang agak baik dan terang. Kawasan ladang ini agak terbiar.
Laluan parit dipenuhi tumbuhan air. Nampak macam bersemak. Hakikat sebenar itu adalah parit bersempadanan dengan lebuhraya dan ladang kelapa sawit. Jikalau jatuh peranti masih boleh terapung lagi.
Meninjau juga deretan pokok hiasan di tepi lebuhraya juga tidak kelihatan belon. Pokok pakis tumbuh meliar bersebelahan parit. Cuaca petang semakin redup walaupun mentari memancarkan cahaya.
Parit kecil dari arah ladang kelapa sawit mengalir ke parit besar yang masih belum di cuci. Monsun akan tiba tidak lama lagi. kebiasaannya semua parit dan longkang akan dibersihkan bagi memudahkan aliran air lebih-lebih lagi musim banjir.
Banyak ikan yang terdapat dalam parit tersebut. Pasti ikan laga banyak membiak dalam habitat semulajadinya. Selangor mempunyai spesies ikan laga yang tidak terdapat di negeri lain. Habitat seperti harus dikekalkan agar spesies ini tidak pupus ditelan pembangunan.
Hari semakin petang, seharian mencari belon agak memenatkan namun amat seronok sekali. Walaupun gagal mencari. Kepuasan masih dapat diperolehi dengan berjalan hampir 11 km yang direkodkan jam Garmin mode Tactical.
Banyak pengalaman dan tempat baru dijelajahi memberi ruang untuk misi masa hadapan pula. Akses ke tempat pendaratan amat penting agar mudah sampai dengan selamat serta cepat dan pantas. Laluan yang tepat dan betul pasti menjimatkan masa dan tenaga. Ada beberapa lagi belon belum dicari kerana lokasi agak jauh ke dalam. Mencari dekat dengan jalan utama terlebih dahulu kerana masa tidak mengizinkan. Perancangan yang teliti dibuat agar mendapat keputusan yang lebih tepat dan jitu lagi. Kegagalan dan kesilapan satu proses pembelajaran untuk diperbaiki lagi masa hadapan.
Jejak misi terakhir berdekatan Masjid Sultan Abdul Samad KLIA. Merujuk peta satelit di atas kawasan ladang ini mempunyai jalan masuk. Perlu masuk mengikut laluan ke kebun terlebih dahulu. Jarak bagi misi terakhir ini 1.92km dalm masa paling cepat 41 minit 44 saat. Tenaga yang dibakar sebanyak 315 kalori.
Jumpa dan jumpa lagi
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment