Kuat Berkubang


 Pada 24 hingga 26 Januari 2025 berkesempatan bercuti bersama harmonic di pantai peranginan Port Dickson. Hari pertama menginap di Hotel Ehsan Sea View. Menghala ke Teluk Kemang terlebih dahulu untuk makan dan membeli pelampung flamingo. Mendapat bilik penginapan di tingkat 8 memberi pemandangan laut luas terbentang.


Damia tidak sabar untuk turun ke bawah masuk ke dalam kolam. Ketika itu jam masih awal pukul 4 petang. Berbekalkan sepasang baju tukar kami turun ke bawah untuk mendapatkan tuala pool. Perlu bertukar pakaian kering sebelum masuk ke bilik semula. Tidak seperti di Hotel Seri Malaysia Melaka yang lalu. Kolamnya hanya di belakang bilik penginapan sahaja. Lepas berendam boleh terus masuk ke dalam bilik dengan segera masuk ke bilik air.



Selepas mendapatkan tuala pool terus memilih kerusi malas untuk diletakkan beg dan selipar. Sebelum masuk ke dalam kolam perlulah badan dibasahkan terlebih dahulu. Mencecahkan ke dasar kolam sudah terasa kedinginan air kolam tersebut. Sangat sejuk airnya. Bayu laut meniup ke permukaan kolam dengan agak kuat. Riak-riak air terbentuk hasil tiupan bayu tersebut.


Kolam yang besar berkedalaman 1.50m menghadap laut. Sudah pasti Damia akan tenggelam di dalam kolam ini kerana berketinggian 1.28m. Nasib baik pelampung telah dibeli. Boleh bermain-main di dalam kolam ini. Kolam baby pool yang cetek berbentuk aliran sungai. Satu lagi kolam yang mempunyai gelongsor agak dalam juga bagi kanak-kanak.


Puas mandi kami keluar bergerak ke Bandar Port Dickson mencari bekalan kudapan dan minuman. Singgah di PD waterfront melihat siput-siput di batu-batu tepi pantai. Terdapat pusat permainan hiburan turut wujud di kawasan taman tersebut. Sebelah malam mencari makan di kedai-kedai makanan yang banyak sepanjang jalan pantai.



Hari Kedua Sabtu 25 Januari 2025

Pemandangan dari serambi bilik hotel pada sebelah pagi. Air laut pada pagi tersebut semakin surut. Hotel Ehsan Seaview terletak sebelum Bandar  Port Dickson. Beberapa meter sahaja sebelum Bandar . Hotel berada di tepi pantai yang berteluk.


Kapal tangki sedang memunggah minyak atau mengisi minyak berhadapan hotel. Tidak jauh dari pantai dan hotel. Oleh kerana awal, mentari belum memancarkan cahayanya. Maka gambarnya agak gelap. Bayu laut bertiup tenang pada pagi tersebut. Awan agak banyak di kaki langit.


Damia berdiri di serambi sambil menikmati pemandangan sebelum check-out. Selepas bersarapan di Coffee House terus mengajak masuk ke dalam kolam. Beg dengan sepersalinan serta ke kaunter tuala kolam. Memilih kerusi malas petang semalam juga. Pada pagi ini lebih ramai sedikit yang turut berendam di dalam kolam. Petang semalam hanya kami berdua sahaja bermain air yang sejuk ini.


Pemandangan teluk yang lebih cantik kerana matahari telah memancarkan cahaya berbanding waktu pagi. Selat Melaka sangat sibuk sebagai laluan kapal antarabangsa utama dunia. 


Pemandangan kapal tangki yang lebih jelas lagi. Pagi hari kedua ini turut disertai oleh satu kumpulan membuat aktiviti sukaneka dan membina pasukan di tepi pantai. Puas berendam, Damia ajak turun ke pantai pula. Tidak mandi laut tetapi hanya bermain air sahaja. Pantai agak landai dengan serpihan batu karanga dan serpiham kulit siput mewarni pantai. Kami terjumpa rumpai terdampar di atas pantai. Tanpa berlengah terus campak masuk ke dalam air semula. Beberapa minit kemudian kelihatan buih-buih mula timbul dari rumpair tersebut. Beritahu pada Damia rumpair tersebut masih lagi hidup kerana mengeluarkan gas oksigen untuk teruskan kehidupan.


Sempat juga mencari kulit-kulit siput dan cengkerang. Namun, sekadar mencari tidak membawa balik kulit-kulit tersebut. Berkaki ayam dari kolam terus ke pantai sangat baik untuk grounding. Segala cas-cas dalam badan terus masuk ke dalam tanah secara langsung dan menyihatkan tubuh badan.


Puas bermain di tepi pantai, kami naik semula ke kolam. Sambung berkubang sekali lagi. Perlu basuh kaki terlebih dahulu kerana air laut serta pasir pantai. Jam 11:15 pagi selepas bertukar baju kering barulah naik ke bilik semula. Pulangkan tuala pool sebelum naik lif kemudiannya. Jam 12:00 tengah hari perlu check-out.


Teruskan ke basement terlebih dahulu untuk meletakkan beg ke dalam kereta. Usai mengisi luggage kembali ke kaunter untuk check-out dan mengambil deposit RM100.00 semula.


Destinasi seterusnya adalah Pusat Ikan Hiasan Port Dickson. Bayaran bagi tempat meletak kereta adalah sebanyak RM4.00 sahaja. Pusat ini tidak mengenakan sebarang bayaran masuk. Perlu daftar nama pada buku pendaftaran yang disediakan di Pondok Pengawal.


Pusat ini dikendalikan oleh Jabatan Perikanan Malaysia. Tarikan pertama kami ke tangki penyu agar-agar. Pelbagai saiz dan peringkat umur penyu diletakkan di dalam kolam atau bekas. Penyu-penyu ini bergerak sangat aktif. Ini menunjukkan penyu tersebut sihat dan sentiasa meminta makanan. Ada juga kawasan berpasir tempat pengeraman telur-telut penyu tersebut.


Kemudian masuk ke bangunan utama disambut oleh staf untk bergambar kenangan. Pengunjung boleh memilih pakej gambar yang ditawarkan. Damia lebih berminat melihat ikan-ikan di akuarium daripada bergambar. Ingatan memori disimpan di dalam minda sahaja menjadi kenangan abadi.



Selepas berada di lobi utama, bergerak ke ruang akuarium yang seterusnya. Ruang ini agak panas hanya menggunakan kipas sahaja. Namun, tidak menjadi masalah kerana melihat ikan-ikan berenang menyejukkan perasaan.


Keluar dari ruang yang pertama itu, kita akan dapat melihat akuarium kiri dan sebalah kanan laluan terus. Bangunan setingkat ini agak panjang hingga ke hujung adalah tandas dan pejabat. Bilik-bilik akuarium berada di sebelah kiri dan sebelah kanan.


Sepanjang lorong itu juga ditampal poster-poster maklumat tentang hidupan marin. Kempen-kempen kesedaran menjaga dan melestarikan hidupan marin dan akuatik dipamerkan untuk bacaan dan maklumat pengunjung.


Ruang pameran terdapat barisan akuarium untuk dilihat pengunjung. Maka, perlu berhati-hati kerana ruangnya agak kecil. Jangan mengetuk akuarium tersebut. Hanya lihat aksi ikan-ikan tersebut sahaja.


Batu-batu karang turut dipamerkan. Ia tumbuh dari bekas di dalam akuarium tersebut. Boleh dilihat ia tumbuh dan hidup dengan baik sekali. Pelbagai bentuk dan saiz boleh dihayati. Berkunjung ke pusat ini dapat menambahkan pengalaman dan pengetahuan tentang hidupan marin dan akuatik.


Puas melihat ikan-ikan dan hidupan akuatik yang lain bergerak mencari tempat penginapan pula. Cuba-cuba menanyakan bilik kosong di kaunter. Tidak membuat tempahan awal. Lebih suka membuat tempahan secara walk-in sahaja. Alhamdulillah ada bilik kosong di Hotel Klana Beach Resort.


Penulis sudah beberapa kali menginap di hotel yang terletak di Kompleks Baitul Hilal. Pemandangannya yang memukau mata serta mudah meletak kereta tanpa perlu berebut. Pada kali ini, perlu memikirkan hotel yang mempunyai kolam renang pula. Aktiviti wajib bagi Damia untuk bermain air sepanjang percutian.


Masa dahulu tidak hairanpun tentang kolam renang ini. Kini, perlu melayan kehendak anak untuk bermain air pula. Jadi, abahnya turut akan berendam sampai sejuk menggigil. Dahulu, sekadar untuk bermalam dan berehat atau bersiar-siar setiap kali bercuti. Maka, antara kriteria utama sebelum memilih penginapan pastilah mempunyai kolam renang.


Setelah membuat tempahan dan bayaran. Perlu menunggu panggilan dari Front desk . Ini kerana bilik belum bersedia untuk dimasuki lagi. Maklumlah daftar masuk hotel adalah jam 3 petang. Maka, kamipun mengambil kesempatan untuk meninjau kawasan kolam renang di hotel ini.

Lokasi kolam renang bersebelahan dengan Kompleks Baitul Hilal pusat astronomi bagi mencerap anak bulan terutamanya. Kompleks ini ditutup bagi kerja-kerja penyelenggaraan. Pemandangan Pantai Sri Purnama dari kolam. Cuaca tengah hari itu sangat baik sekali.


Selepas puas meninjau, Damia mengajak makan tengah hari terlebih dahulu. Kami berpatah balik ke Port Dickson mencari tempat makan yang sesuai. Semasa memandu ke sana mendapat panggilan dari pihak hotel yang menyatakan bilik telah siap. Sangat pantas dan efisien sekali hotel ini.


Sampai di bandar kami memilih kedai tomyam yang terkenal di sini. Kedai tomyam yang banyak cawangannya di Port Dickson ini. Pesan nasi goreng pataya untuk penulis. Damia makan sup daging dengan telur dadar. Sebelum itu cucuk duit dahulu bagi bekalan wang tunai. Zaman ini, walaupun boleh bayar guna kad duit tunai amat penting dibawa ke mana-mana.


Pemandangan bahagian hadapan merupakan Selat Melaka yang sentiasa sibuk dengan kapal dagang. Usai makan terus bergegas ke kaunter bagi mendapatkan kunci bilik. Bilik tingkat tiga menghadap laut. Bilik menghadap laut pastilah menjadi pilihan bagi menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi.


Damia dari jendela bilik dapat melihat kolam tela ada tetamu yang mandi. Alamak! sudah pastilah diapun hendak terjun sekali. Bertambah dengan cuaca petang yang agak cerah ini. Aktiviti wajib adalah bermandi-manda di kolam. Usai solat zohor terlebih dahulu barulah turun kolam.


Kali ini, seperti di Hotel Ehsan Sea View perlu membawa persalinan kering. Baju basah tidak dibenarkan masuk ke dalam hotel. Bilik persalinan ada disediakan di kolam ini. Terus ke kaunter bagi mendapatkan tuala. Perlu bagi kupon yang disediakan semasa pendaftaran. Satu kupon satu tuala.


Kemudian mengambil satu kerusi untuk diletakkan beg dan tuala kolam tadi. Letak kerusi tersebut ditempat teduh balik pokok. Kali ini matahari memancar terus ke muka. Tiada tempat redup di kawasan kolam ini. Kolam ini di bahagi dua oleh tembok yang membentuk air terjun. Kolam sebelah sana yang agak redup itu untuk perempuan sahaja. Sekali-sekala Damia bermain gelongsor di kolam kana-kanak. Semakin petang semakin ramai tetamu bermain air di dalam kolam.


Puas mandi kolam Damia mangajak turun ke pantai pula. Menggunakan laluan yang disediakan oleh pihak hotel. Ada laluan turun tangga dari kolam. Ada tetamu memancing ikan di atas laluan tersebut. Berkaki ayam sahaja. Kadang terasa kehangatan laluan tersebut akibat pancaran matahari petang yang agak terik juga. Berjalan dengan penuh hati-hati.


Tiba di pantai meletak beg di tempat yang sesuai. Ada sekumpulan lelaki membuat aktiviti barbeque di situ. Ada ramai orang di pantai pada petang tersebut. Perlahan-lahan masuk ke laut hingga kawasan yang agak dalam. Perlu berhati-hati kerana pantainya terdapat batu juga. Terpijak batu boleh tahan sakitnya juga.



Sekali-sekala ombak agak kuat selepas bot-bot melalui kawasan tersebut. Gelombang ombak hingga ke pantai menjadi lebih kuat. Petang itu deruan angin dan ombak agak tenang sahaja. Pancaran matahari petang terus memancar. Air laut yang sejuk menyaman membuat tidak mahu naik ke pantai. Puas mandi laut Damia ajak ke kolam semula. Perlu bilas badan sekali lagi sebelum masuk ke dalam kolam pula. Kali ini kolam semakin meriah dengan tetamu yang bermandi-manda.



Hari Ketiga Ahad 26 Januari 2025

Hari terakhir sebelah pagi mendung dan hujan. Semasa bersarapan di Coffee House hujan sekali-sekala turun rintik. Sebelum itu dari tingkap bilik kelihatan staf membersihkan kolam renang. Pagi-pagi sudah melihat budak-budak telah masuk kolam. Ini membuatkan Damia tidak sabar untuk turut serta.


Usai sarapan terus ke kolam. Beg perlu dibalut dengan plastik bagi elak dibasah hujan. Letak kerusu dilokasi yang sama petang semalam. Tiada tempat berteduh kecuali di bilik persalinan sahaja. Pagi ini lolam agak penuh hinggalah jam menghampiri 11 pagi. Ketika di kolam hujan turun beberapa kali tetapi tidaklah lebat sangat.


Sebelum masuk bilik persalinan sempat mengambil batu tanda CRM 2 yang mempunyai paku JUPEM. Penanda ini telah perasan pada sebelah petang semalam sewaktu hendak turun ke pantai dari kolam. Lokasinya tidak jauh dari kolam ke pintu turun ke laut.


Selepas daftar keluar bawa Damia ke Muzium Tentera Darat. Kereta banyak diletakkan ditepi jalan menandakan ramai pengunjung berada di muzium tersebut. Bayaran masuk RM2.00 sahaja bagi dewasa. Berhampiran Audiotoriam muzium dipamerkan pesawat udara milik tentera.


Helikopter Nuri ini banyak berjasa kepada negara. Tugas mengangkut para perajurit di medan perang. Turut membantu khidmat masyarakat menghantar pesakit ke hospital juga.


Belakang pesawat Nuri merupakan deretan kenderaan tempur kereta kebal. Kenderaan tempur barisan hadapan memastikan lokasi musuh dapat dikenal pasti dengan segera. Sebelum itu selepas membayar tiket masuk deretan meriam menyambut kedatangan pelawat. Ada tugu peringatan Perajurit negara yang gugur bagi mengenang jasa dan pengorbanan mereka. Nama-nama Pahlawan Negara diabadikan di tiang berukir dengan baik.


Sebelahnya pula deretan kepala dan gerabak keretapi yang lama. Siap ada kesan bunyi kereta sedang bergerak lagi. Ada juga pengnjung yang mengambil kesempatan masuk ke gerabak keretapi lama ini. Tidak terlepas juga kepala keretapi yang antik ini. Kemudian sebelah keretapi ini deretan meriam yang pernah digunakan oleh Tentera darat suatu masa dahulu. Pelbagai saiz dari kecil hinggalah yang paling besar.


Kemudian bergerak ke blok bangunan yang terletak di dalamnya ruang pameran bahan sejarah berkaitan tentera darat. Pameran yang menarik mengikut tema dan zaman dari dulu hingga kini. Cakera alat komunikasi yang pernah digunakan sewaktu masa dahulu turut dipamerkan.



Pesawat Hawk milik TUDM turut banyak berjasa mempertahankan ruang angkasa negara. Pencerobohan ruang angkasa negara merupakan satu kesalahan yang berat. Pastilah pesawat pejuang negara ini akan memberi amaran terlebih dahulu. Ruang angkasa raya negara perlu dijaga demi kedaulatan negara terus dipelihara.


Blok bangunan pameran yang kedua terdapat Terowong Komunis. Laluan bawah tanah menyerupai terowong yang dibina oleh pasukan komunis pada zaman darurat dahulu. Banyak maklumat tentang pasukan ini ditunjukkan agar menjadi pengajaran generasi masa kini. Laluan terowong berakhir berdekatan gerai jualan cenderamata. Terus mengambil kesempatan membeli minuman bagi menghilangkan dahaga. Berehat sambil menikmati kolam ikan di dalam pondok belakang gerai ini.


Helikopter Aloutte yang comel ini pastilah banyak berjasa juga seperti pesawat yang dipamerkan di muzuim ini. Menjadi tatapan dan ingatan generasi ini kerana berperanan dalam mempertahankan tanahair tercinta.


Satu lagi helikopter Aloutte milik tentera darat tidak berwarna celoreng. Pastilah unit udara tentera darat yang mengendalikan pesawat ini. Puas hati meneroka muzium, kamipun bergerak keluar untuk mencari makan tengah hari pula. Memang berbaloi membawa anak ke muzium ini bagi menyemaikan semangat patriotik dalam jiwa sebagai pemimpin masa hadapan.


Batu tanda aras TBM 2 milik Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia dijumpai dihadapan Pejabat Kastam dan Jabatan Laut Malaysia. Tertera juga lambang Ukur Sepakat firma yang bekerjasama dalam membina batu tanda aras ini. Batu yang dicat biru ini pastilah milik JPS.


Mudah dilihat dan dikesan kerana bentuk fizikal yang dicat warna biru. Kemudian meletak kereta dan terus ke restoran berdekatan untuk makan tengah hari. Original PakLang Kopitiam menjadi pilihan. Memesan nasi ayam hainan enak sekali. Usai makan terus ke Masjid Jamek Dato' Haji Abdullah Sijang. Masjid yang terletak atas bukit ini menyajikan pemandangan indah laut di Port Dickson ini.


Tidak sah setiap kali percutian tidak pergi melihat haiwan. Damia sangat suka akan haiwan. Pada kali ini sempatlah sebelum pulang melawat Taman Aurora. Tarikan utama adalah arnab terbesar. Spesies arnab dari luar negara.


Bayaran untuk tiket bagi seorang dewasa dan kanak-kanak termasuk bekas makanan RM40. Tiket boleh digunakan jam 9 malam kerana boleh menikmati cahaya LED yang dipertunjukkan dalam pelbagai rupa dan bentuk. Kami terus balik sahaja tidak sempat untuk menunggu sampai malam.



Sememangnya kawasan Taman Aurora ini sangat luas. Pelbagai haiwan yang boleh diberi makan seperti taman-taman haiwan yang lain.


Aktiviti wajib memberi makan kuda. Hanya ada seekor kuda padi sahaja di taman ini. Walaupun Damia pernah digigit kuda baru-baru ini. Tidak menjadi masalah untuk mendekati kuda seperti kebiasaannya. Cinta dan kasih sayang pada haiwan tidaklah membuatkan ia trauma atau takut untuk memberi haiwan makan lagi. Namun, tetap berwaspada sentiasa bagi mengelakkan kejadian tidak berulang lagi. Cuma pada kali ini tiada aktiviti joyride disediakan di taman ini. Tidak dapatlah Damia pada kali ini untuk menunggang kuda.


Kolam kurungan itik menjadi tempat itik-itik bermain air. Sebelum masuk ke kurungan ini terdapat tiga ekor itik yang terlepas berada di luar pagar. Boleh masuk melalui pintu yang disediakan.


Memberi makan itik ke dalam air lebih menyeronokkan. Aksi itik-itik merebut makanan lebih memberi satu kepuasan berbanding dilemparkan di atas tanah sahaja.


Berenang-renang paras dada itik sahaja terpampang dihadapan mata. Sebab itulah anak-anak perlu didedahkan dalam kolam mandi agar tidak takut dengan air. Keyakinan diri dalam air amat penting dalam meneruskan perjuangan hidup. Sekurangnya dapat melepaskan diri dari dihanyut atau lemas di dalam air.


Terdapat dua ekor burung unta di taman ini. Semasa menghulurkan makanan ia buat tidak kisah sahaja. Sangat aktif berjalan ke sana ke mari dengan saiz tubuh yang tinggi melampai.


Damia menyentuh seekor arnab yang terbesar di taman ini. Arnab spesies dari luar negara ini menurut penjaga tersebut. Berada di ruang berhawa dingin bagi mengekalkan suhu sederhana seperti di tempat asal.


Terdapat beberapa ekor lagi dalam sangkar di dalam ruang ini. Sangat jinak seperti arnab-arnab yang lain.


Sudut pandangan lain arnab-arnab berehat dalam sangkar. Dua tingkat sangkar yang dipenuhi beberapa ekor arnab yang jarang ditemui sebesar seekor kucing dewasa.


Kandang kambing mudah untuk aktiviti memberi makan. Kambing-kambing yang jinak pasti datang berebt menunggu makanan diberi. Kebiasaannya yang besar menolak yang kecil agar dapat merebut makanan.


Akhir sekali lepak di kolam ikan. Selepas mencampakkan makanan seekor ikanpun tidak timbul. Beberapa ketika kemudian barulah air berkocak menandakan ikan berebut makanan. Namun tidak kelihatan ikan apakah yang berebut itu. Puas meronda kamipun pulang ke Bangi melalui Lukut, Sendayan, Labu, dan Nilai. Hendak singgah ke Muzium Kota Lukut tidak sempat kerana tinggal 15 mint sahaja akan ditutup.

Selamat Memburu!
Jumpa dan jumpa lagi
73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Kuat Berkubang

  Pada 24 hingga 26 Januari 2025 berkesempatan bercuti bersama harmonic di pantai peranginan Port Dickson. Hari pertama menginap di Hotel Eh...