Belon KLIA radiosonde 2405015509 berjaya ditemui pagi tadi dalam longkang di Teluk Datuk. Ia jatuh jam 9:27 pagi. Koordinat 2.81759 darjah Utara dan 101.51835 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 331m dan ketinggian maksimum 27,769m
Belon ditemui pada garisan merah yang telah ditanda pada tangkap layar di atas. Belon ditemui tepi jalan manakala peranti radiosonde ditemui di dalam longkang deretan kedai yang sudah pasti tutup kerana perayaan Tahun Baru Cina. Nasib baiklah tiang TNB menjadi penyelamat agar peranti tidak jatuh atas jalan juga. Seterusnya peranti terus jatuh masuk longkang.
Semasa menghampiri titik akhir berada di atas jalan tidak kedengaran isyarat radiosonde. Kemudian masuk ke kiri di kawasan taman perumahan berdekatan dan masuk ke deretan kedai barulah kedengaran isyarat semakin kuat. Risau juga isyarat tidak kedengaran takut peranti digelek kenderaan mahupun dikutip orang. Kalau lambat pastilah orang lain akan menemui terlebih dahulu. Banyak kes setelah jatuh dijalan utama, peranti tidak dapat dikesan. Apatah lagi isyarat tidak lagi kedengaran.
Belon jatuh dibahu jalan di atas rumput bersebelahan longkang. Jarak ke titik akhir berdasarkan GPS Waypoint Finder adalah 110m.
Manakala peranti radiosonde yang diukur ke titik akhir di dalam longkang itu adalah 112m. Tiang elektrik TNB telah menyelamatkan peranti dari terbabas masuk ke jalan. Semasa meletak kereta di hadapan kedai telah melihat benang tergantung pada tiang tnb ini. Terus keluar dan melihat belon di tepi jalan. Kemudian menyusur mata pada benang sahlah jatuh dalam longkang.
Peranti paling cepat ditemui. Sampai lokasi terus nampak benang. Benang sangat memainkan peranan memudahkan ia dikesan dengan mata kasar. Patutlah jarak 400m pun isyarat tidak kedengaran. Rupanya ia berada di bawah permukaan air longkang.
Berjalan ke belon melalui jalan masuk yang satu pintu kedai sahaja. Jadi tak perlulah melompat longkang tersebut. Oleh kerana belon menyorok dibalik rumput pastilah orang tidak akan perasan. Namun, jika pemotong rumput datang pastilah menjadi mangsa mata mesin. Hanya pemburu belon sahaja tahu kewujudannya di situ berdasarkan benang yang tergantung tersebut.
Hasil menyauk dalam longkang dan ditepi jalan. Alhamdulillah rezeki pagi ini jatuh di kawasan tersebut. Jika tempat lain pastilah ceritanya juga berlainan. Sebenarnya beberapa tahun dahulu belon pernah jatuh di Jalan besar Teluk Datuk ini juga. Itupun masuk longkang juga. Kesimpulannya angin belon jatuh ditempat yang sama juga walaupun tidak betul-betul sama. Masih dilingkungan kawasan yang sama juga berdekatan antara satu sama lain. Banyak kes sebegini telah ditemui. Angin membawa belon jatuh di kawasan yang sama juga. Cuma tempatnya agak berlainan.
Kemudian merancang untuk mencari radiosonde 2405015288 yang telah jatuh pada 12 Januari 2025 jam 21:11 malam. Jatuh bersebelahan sekolah agama dekat simpang empat Jalan Tali Air. Titik akhir di dalam kawasan ladang yang berparit. Jangkaan mendarat disebelah kedai logam. Ada laluan masuk yang semakin bersemak menuju titik jangkaan. Oleh kerana perayaan Tahun Baru Cina hasrat untuk mencari ditangguhkan terlebih dahulu.
Misi SAR terakhir di Jalan Resak. Inipun kawasan yang pernah mencari belon juga pada dua tahun lepas. Cumanya laluannya titik akhirnya lebih dekat dengan dengan jalan utama. Sebelum ini kena masuk ke dalam lagi. Laluan tanah merah sukar untuk dimasuki kerana lopak air. Jikalau menggunakan pacuan empat roda pasti tidak menjadi masalah.
Kereta diletakkan berhampiran simpang masuk jalan tanah merah ini. Jarak dari kereta ke titik akhir adalah 348m. Cuaca tengah hari itu panas memudahkan pencarian. Namun banyak betul nyamuk menggigit.
Tiba dititik akhir kawasan ladang kelapa sawit pokok agak muda lagi. Melihat-lihat sekeliling tiada yang dijumpai. Mengeluarkan kompas dan terus melaraskan mengikut jarum kompas arah belon jatuh. Titik jangkaan atas jalan tadi sahaja. Kemudian terus mengikut arah belon jatuh dengan berat ke arah kiri.
Kawasan arah belon kebun kelapa sawit agak kemas. Berdasarkan timbunan pelepah dilihat seperti baru sahaja dikemas beberapa hari yang lalu. Jikalau pekerja sawit menjumpai terlebih dahulu habislah berputih mata.
Titi laluan masuk ke kebun arah belon jatuh. Kawasan kebun yang bersih dan lapang memudahkan pencarian. Namun, tidak juga dijumpai.
Parit kecil yang tetap mengalirkan air bagi tujuan pengairan kawasan kebun. Belon ini telah jatuh agak lama bertarikh 14 Januari yang lalu. Kemungkinan besar telah dijumpai orangpun boleh jadi juga.
Pokok-pokok yang ditemui ada bergulung dan bersimpul tidak menegak ke atas. Mungkin usianya sudah lanjut. Kebun milik persendirian tidak tanam semula seperti syarikat perladangan yang besar itu.
Bersebelahan kebun kelapa sawit merupakan kebun pisang yang berpagar elektrik. Kemungkinan belon boleh terlajak masuk ke dalam kawasan ini juga. Sukar untuk melihat benang atau belon di kawasan ini. Pintu pagar bertutup. Jikalau ada pekerja bolehlah bertanyakan tentang belon ini.
Kawasan berpagar dan pintu berkunci ini sudah pastilah tidak boleh diakses. Jam menunjukka hampir sejam berlalu. Tekakpun semakin dahaga. Maka, misi SAR ini perlu ditamatkan dan balik semula berjalan ke kereta kembali.
Selamat Memburu!
Jumpa dan jumpa lagi
73 Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment