9M2EDX dan 9W2VDN Berjaya Mendapat Lesen


 Malam tadi berjaya melancar misi mencari belon radiosonde D20039939 di Pulau Carey. Kali ini kekuatan anggota seramai empat orang. Pasukan SAR terdiri daripada Hanif 9W2VHF, Ayob 9W2VDN dan Nazmi 9M2EDX.


Belon ini jatuh jam 20:46 bertarikh 14  Februari 2022. Altitud ketinggian terakhir terdapat perbezaan antara sondehub dan aprs. Sondehub merekodkan 71m, manakala aprs  merekodkan 118m. Defisit 47m tidaklah terlalu besar. Koordinat 2.88921 dan 101.3285 dari sondehub.  Altitud ketinggian maksimum pula adalah 15700m. Faktor cuaca yang buruk kemungkinan menjadi punca ia jatuh lebih awal daripada kebiasaannya.


Memandu dari Cheras stesen 9W2DYA-1 melalui Kajang singgah di UKM Bangi mengambil Nazmi 9M2EDX. Seterus ke Dengkil sebelum sampai di Pulau Carey. Pemanduan terpaksa berhati-hati, memandangkan hujan sepanjang perjalanan. Tiba di destinasi WX kering dan tidak hujan. Bulan mengambang menerangkan kawasan sekitar dari cahayanya.

Credit 9W2VHF

Merujuk dalam group Ayob 9W2VDN telah sampai lebih awal. Kemudian Hanif turut tiba dan berkumpul di medan selera di Pulau Carey ini. Setelah kami berdua tiba, barulah perbincangan misi dijalankan. Masing-masing sibuk memasukkan koordinat ke dalam aplikasi GPS Waypoint Finder. Menurut aplikasi tersebut jarak ke tempat belon jatuh lebih kurang 3 km lagi.

Credit 9W2VHF

Setelah semua bersedia, barulah kami bergerak ke tempat kejadian. Memandu keluar melalui perumahan pekerja terus ke bawah jejambat SKVE. Memandu berhati-hati di jalan tanah merah yang kering kerana tidak hujan di sini. Melepasi kunci air berdekatan ban terus mengikut jarum kompas gps waypoint finder. Jarak semakin hampir namun isyarat tidak juga kedengaran.

Credit 9W2VHF

Sepanjang perjalanan kami berhubung melalui frekuensi 145.500MHz. Nazmi 9M2EDX co-pilot berhubung bersama dua stesen yang lain di hadapan kami. Beliau juga memaklumkan jarak pencarian yang semakin hampir. Lorong yang terhampir menjadi laluan kami untuk meletakkan kenderaan.

Credit 9W2VHF

Titik terakhir berbaki kurang 100m dari tempat letak jelopi. Cuba mendengar frekuensi 401.110MHz tetapi tetap tiada juga. Kamipun berjalan melalui lorong ke tapak belon jatuh di hadapan. Selepas beberapa langkah, Nazmi 9M2EDX telah terlihat benang melintang di hadapan kami. Sahlah yang dicari telah dijumpai. Belon di tepi parit yang tinggal suku bentuknya. Pecah pada ketinggian 15700m.

Credit 9W2VHF
 Menyuluh benang untuk mengesan peranti radiosonde pula. Benang berakhir di atas tanah berdekatan deretan kelapa sawit di hadapan sedikit. Rupanya peranti telah senyap menyebabkan tiada isyarat dapat diterima. 
Credit 9W2VHF

Jarak 32.4m adalah jarak dari peranti dijumpai ke titik terakhir radiosonde D20039939. Manakala koordinat 2 darjah 53.3526' Utara dan 101 darjah 19.7099' Timur. Dapatan menggunakan aplikasi GPS waypoint finder milik Hanif 9W2VHF.


Manakala data dari jam garmin pula, koordinat 2 darjah 53.3577' Utara dan 101 darjah 19.6908' Timur. Kerja-kerja mengemas dilakukan serta bergambar kenangan. Patah balik semula ke jelopi sebelum singgah ke medan selera untuk memulangkan barang yang dipinjam.


Wajah kegembiraan terutamanya Ayob 9W2VDN dan Nazmi 9M2EDX berjaya mendapat lesen. Kami ke pondok pengawal untuk menunjukkan peranti yang dijumpai. Rupanya mereka pernah menjumpai peranti radiosonde ini. Sememangnya Pulau Carey menjadi tempat pendaratan belon radiosonde dari KLIA selain Banting.

Credit 9M2EDX
Peranti rdzTTGO Nazmi 9M2EDX pada malam itu tidak dapat digunakan kerana isyarat tidak aktif. Ia telah mati lebih awal. Rupa-rupanya peranti radiosonde telah dimasuki air setelah dibedah siasat oleh Hanif 9W2VHF. Kemungkinan semasa penerbangan di atmosfera wx sangat buruk hujan dari KLIA hingga ke Banting dan jatuh di Pulau Carey.

Credit 9M2EDX

Namun, baterinya masih boleh digunakan lagi setelah mencubanya pada peranti radiosonde yang lama kebetulan dibawa bersama. Peranti hadapan merupakan yang baru ditemui telah basah. Manakala peranti dibelakang yang bernyala lampunya merupakan peranti yang dijumpai di Seksyen 18 Shah Alam.

Credit 9W2VDN

Menurut Ayob 9W2VDN setelah dikering dengar alat pengering rambut. Peranti radiosonde berjaya dihidupkan. Ini menunjukkan peranti masih boleh diguna pakai.

Tahniah kepada semua ahli SAR yang berjaya menemui radiosonde D20039939 pada malam tadi. Kerjasama berpasukan yang mantap membawa kejayaan bersama.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...