Berjaya menemui Radiosonde Beraltitud 1081m

Credit 9M2EDX

 Pada hari ini dua misi pencarian radiosonde di Banting untuk mencari saki-baki yang masih belum ditemui. Misi kali ini disertai oleh Nazmi 9M2EDX, Yatt 9W2MFE dan Hanif 9W2VHF. Berkumpul di stesen minyak Petronas Kanchong Darat.


Misi pertama mencari radiosonde D20039910. Jatuh pada 28 November 2021 pada jam 21:01. Telah mencapai selama 77 hari sejak ia jatuh. Percubaan mencari kali ketiga untuk belon ini. Namun gagal menemui sebarang tanda memandangkan kawasan ladang sawitnya sangat bersemak. Pada 15 Januari 2022 lalu, aku masuk meninjau berseorangan. Tidak pada kali ini empat kekuatan anggota mencari cuba menduga nasib.

Credit 9W2MFE

Wajah-wajah ceria, walaupun tidak menemui radiosonde D20039910. Berehat seketika selepas selamat keluar dari kawasan ladang kelapa sawit yang sangat semak. Nasib baik membawa parang untuk menebas pelepah yang menghalang laluan. Hasil pemantauan sebelum ini, keperluan menggunakan parang sangat diperlukan.


Misi terakhir adalah mencari radiosonde D20052284 yang jatuh pada 26 Disember 2021. Detik 9:16 pagi dan melangkaui 49 hari berlalu. Altitud ketinggian terakhir 1081m agak tinggi untuk dicari. Namun, atas dasar ingin cuba mencari tanpa disangka berjaya menemuinya. Walaupun perantinya tiada namun kesan dan bukti adalah betul ia jatuh di situ. Benang tersangkut di pelepah sawit dan serpihan berserta kod siri menjadi saksi.

Credit 9M2EDX

Terpaksa menyelongkar timbunan pelepah sawit yang untuk mendapatkan sisa-sisa peranti ini. Hanya tinggal pelekat bernombor kod radiosonde dan antena sensor. Pada mulanya aku dan Yatt 9W2MFE telah melalui kawasan tersebut. Namun tidak perasan benang yang tergantung dari pelepah sawit. Hanif 9W2VHF menghampiri kami telah ternampak benang yang tergantung itu. Kemudian menarik-narik benang untuk mendapatkan peranti dari timbunan pelepah-pelepah sawit yang dipotong. Namun kecewa hanya tinggal serpihan sahaja.

Credit 9M2EDX

Kemudian kami selongkar longgokan pelepah-pelepah sawit yang kering untuk mencari lagi serpihan mahupun peranti tersebut. Kemungkinan tuan punya kebun telah mengambil ketika kerja-kerja mengemas kebun sawit tersebut. 


Koordinat radiosonde ditemui adalah 2 darjah 44.1716' Utara dan 101 darjah 31.4500 Timur. Bukti rekod yang perlu dilakukan bagi rujukan masa hadapan. Jaraknya ke titik terakhir adalah 175m bagi altitud 1081m.

Credit 9W2MFE

Masing-masing menunjukkan serpihan radiosonde di tapak pendaratan radiosonde D20052284. Walaupun peranti tidak ditemui, namun serpihan yang ada merupakan bukti kukuh ia jatuh di situ. Ini merupakan kejadian kedua tidak menemui peranti dalam keadaan yang elok.

Credit 9W2VHF

Selepas itu, kami bergerak ke kedai makan di belakang stesen minyak Petronas Kanchong Darat. Meraikan kejayaan menemui satu radiosonde daripada dua misi dilancarkan. Perbincangan post mortem dilakukan setelah apa yang berlaku hasil pencarian. Kejayaan terbesar adalah berjaya menemui radiosonde yang beraltitud terakhir adalah 1081m yang dirasakan mustahil bagi menemuinya. Setelah mencuba tiada perkara yang mustahil selagi kita terus berusaha. Belum cuba belum tahu, sudah cuba baru kita tahu.

No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...