Semalam 26 Februari 2022 berjaya mendapat radiosonde pagi dan malam dalam sehari. Tiga misi dilancarkan semalam. Dua daripadanya berjaya membawa pulang peranti radiosonde.
Belon sebelah pagi adalah D20054815 telah mendarat jam 9:26 pagi. Jatuh di ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Pulau Carey. Koordinat 2 darjah 50.24' Utara dan 101 darjah 20.84' Timur. Altitud ketinggian terakhir 103m mengikut aprs.
Hanif 9W2VHF telah tiba terlebih awal di Pulau Carey. Beliau berjaya mendapatkan koordinat radiosonde yang telah mendarat dalam ladang kelapa sawit itu. Koordinat yang telah dicerap 2.837330 darjah Utara dan 101.347198 darjah Timur menggunakan rdzTTGOsonde.
Turut tiba awal sambil menunggu ketibaan kami ialah Arul 9W2OCX. Beliau menunggu di tepi jalan Pulau Carey berhampiran tapak pendaratan belon. Beliaupun telah meninjau jalan masuk namun hanya parit yang menjadi halangan. Kemudian kami sampai di simpang masuk muzium disambut Hanif 9W2VHF. Memasukkan koordinat yang telah beliau cerap sebelum bergerak kepada Arul 9W2OCX.
Menurut Hanif 9W2VHF, Abg Jeeli 9W2YBJ turut dalam perjalanan untuk menyertai SAR pagi itu. Namun perjalanannya masih jauh, memandangkan dari base di Batu Laut. Kami terus bergerak kepada Arul 9W2OCX dan berkumpul di jalan masuk berhampiran. Setelah bersiap dengan segala kelengkapan, kamipun berempat Hanif 9W2VHF, Arul 9W2OCX, Nazmi 9M2EDX dan aku bergerak mengikut laluan di dalam ladang sawit. Aku pernah mendapat satu radiosonde pada bulan lepas di kawasan ini.
Arul 9W2OCX rakan dari Utara pertama kali menyertai SAR. Setelah berjaya memuat turun aplikasi GPS waypoint finder serta memasukkan koordinat. Beliau mengetuai pencarian ini hinggalah terhalang oleh parit yang besar. Sudah menghampiri lokasi radiosonde jatuh. Namun kami tidak berjaya menjejaknya walaupun dekat akibat parit yang agak besar itu. Ketika ini radio yang dicabut antena turut mendapat isyarat radiosonde dengan jelas.
Jadi, kami terpaksa bergerak keluar ke arah jalan besar semula. Nasib terjumpa titi yang tenggelam di dalam parit akibat air naik. Namun, titi itu boleh dilalui dan masih kukuh dan utuh. Setelah semua selamat keluar dari ladang. Rupanya Abg Jeeli telahpun tiba di belakang kereta kami. Maka kamipun mengarahkan beliau berpatah balik kerana kami berada dibelakangnya berdekatan jambatan. Setelah ditinjau ada laluan ke tapak pendaratan di sana.
Setelah semua tiba di laluan masuk, barulah kami bergerak bersama-sama mengikut laluan. Arul 9W2OCX berpandukan jarum kompas terus ke radiosonde dengan terpaksa melompat satu parit yang kecil. Jarum kompas bertukar hijau ke biru menunjukkan peranti radionsonde telah berada di depan mata.
Arul 9W2OCX dan Abg Jeeli 9W2YBJ sangat gembira pertemuaan radiosonde yang pertama kali dijumpai bagi mereka berdua. Maka sahlah mereka telah dinugerahkan lesen belon. Bergambar kenangan dan merekod data seperti prosedur biasa. Bergerak dengan hati yang girang Arul 9W2OCX dan Abg Jeeli 9W2YBJ berjaya membawa pulang radiosonde.
Arul 9W2OCX menggulung benang untuk dibawa pulang sambil ditemankan Nazmi 9M2EDX. Radiosonde yang ditemui masih lagi aktif. Ini memudahkan tugasan mencerap mendapat lokasi yang lebih tepat lagi.
Benang yang panjang lebih kurang 60m ini perlulah dikendalikan dengan berhati-hati. Belon tergantung sebelum Arul berjaya mendapatkannya dengan bantuan Hanif 9W2VHF. Sedikit demi sedikit ia turun perlahan-lahan setelah Hanif 9W2VHF menarik-narik benang itu. Semangat kerjasama berkumpulan dapat dilihat bagi mencapai sesuatu objektif.
Credit 9W2VHF |
Misi mencari radiosonde D20054815 berjaya pada pagi itu. Bergambar dari kiri Arul 9W2OCX, Nazmi 9M2EDX, Abg Jeeli 9W2YBJ, penulis 9W2DYA dan Hanif 9W2VHF. Wajah kegirangan berjaya menyempurnakan misi. Alhamdulillah rezeki dan kerjasama berpasukan yang mantap.
Credit 9W2VHF |
Dua stesen berjaya memperolehi lesen belon. Abg Jeeli mendapat radiosonde D20054838 ditemui di Kg Tali Air pada 22 Februari 2022. Ketika malam itu, beliau berhasrat untuk mencarinya. Namun penulis dan Hanif 9W2VHF terlebih dahulu mendapatkannya. Jadi, pagi itu hasratnya tertunai setelah mengikuti misi SAR ini. Syaratnya mudah sahaja bagi ingin mendapat lesen belon. Turun SAR bersama-sama mencari. Walaupun belon hanyalah satu sahaja, pasti ada rezeki jika kita turun bersama-sama mencarinya.
Credit 9W2VHF |
Nazmi 9M2EDX sangat sibuk mengendalikan rdzTTGOsonde untuk mendapat koordinat sebelum misi bermula. Peralatan yang perlu dimiliki oleh setiap pengejar belon. Boleh mengesan koordinat radiosonde dengan syarat isyaratnya masih lagi aktif. Kemudian masukkan koordinat pada aplikasi GPS waypoint finder. Jangan lupa bawa handy sekali serta cabutkan antenanya. Jika mendapat isyarat yang kuat bermaksud radiosonde semakin hampir ditemui.
Credit 9W2VHF |
Kemudian tinggal tiga stesen untuk meneruskan misi pada petang itu pula. Turut bersama kami di Restoran Al-Fidha, Taman Langat Murni ialah Sufian 9W2SGJ. Beliau datang memberi sokongan walaupun tidak dapat turut serta mencari semula radiosonde D20039900.
Belon ini jatuh berdekatan Pusat pembungan sampah Tanjung 12. Kawasan ladang kelapa sawit yang tidak diusahakan lagi. Pada hari ia jatuh sebelah malam isnin 21 Februari 2022. Namun isyarat tidak kedengaran, mungkin peranti telah dimasuki air.
Laluan ke titik akhir radiosonde D20039900 dari simpang kereta diletakkan di rentis tnb. Laluan ini agak bersemak namun masih boleh dilalui. Sebelah kiri merupakan parit yang agak besar dengan warna airnya hitam. Sebelah kiri merupakan hutan tanah gambut, manakala sebelah kanan ladang kelapa sawit yang ditinggalkan.
Jarak 1195m merupakan lokasi dijangka radiosonde ditemui. Aku menjangkakan lebih kurang jarak 75m radiosnde ditemui dari titik akhir. Ini berdasarkan pengalaman yang lepas bagi altitud ketinggian 234m.
Hanif 9W2VHF tiba setelah menghantar Nazmi 9M2EDX ke lokasi titik akhir radiosonde D20039900. Semasa membonceng kelihatan empat ekor babi berlari ke dalam ladang kelapa sawit ini.
Arah dan jarak dari titik akhir ke kawasan jangkaan radiosonde mendarat. Ada lagi 55.1m untuk mendapatkannya.
Pemandangan jangkaan belon mendarat menghadap hutan tanah gambut. Sukar untuk masuk kerana parit yang luas dan lebar. Lagipun kawasan paya sangat bahaya untuk dimasuki. Tidak nampak kelibat belon mahupun benang yang kemungkinan tersangkut.
Halangan parit dihadapan menyebabkan tidak boleh memasuki kawasan hutan tanah gambut. Cuba meninjau untuk menyeberang tetapi tiada laluan yang sesuai. Maka misi pencarian ditamatkan kerana kawasan pencarian tidak selamat untuk dimasuki.
Pada sebelah malam pula, radiosonde D20054277 telah jatuh jam 21:21 malam. Altitud ketinggian terakhir adalah 51m. Ketinggian yang amat rendah ini memberi peluang yang tinggi untuk mendapatkannya. Ketepatan lokasi jatuhan adalah sangat diyakini berada dekat dengan titik akhir itu.
Koordinat 2 darjah 51.61' Utara dan 101 darjah 20.56' Timur. Manakala, koordinat peranti yang dijumpai adalah 2 darjah 51.6058' Utara dan 101 darjah 20.5521' Timur. Selisih yang sangat kecil dan menjumpai peranti selang sebatang pokok sahaja.
Pada mulanya jarum kompas telahpun bertukar biru manandakan sudah hampir menemuinya. Namun tidak jumpa di baris yang pertama berdekatan jalan. Rezeki malam itu jatuh dilaluan kenderaan. Mudahlah kami akses dan menggunakan lampu jelopi mengarah ke bearing ia jatuh.
Kemudian memeriksa baris kedua barulah Nazmi 9M2EDX dan Arul 9W2OCX tersuluh belon yang berada di parit. Nasib baik perantinya jatuh berdekatan pokok sawit. Patutlah tidak nampak semasa mula mencarinya. Rupanya peranti telah terlindung di balik batang pokok ini.
Peranti senyap dan tiada isyarat diterima pada malam itu. Namun, altitud rendah memudahkan tugas pencarian. Bergambar kenangan bersama peranti di balik sawit yang muda dan rendang.
Credit 9W2VHF |
Wajah ceria sebalik lampu dari kiri penulis 9W2DYA, Arul 9W2OCX, memegang radiosonde Nazmi 9M2EDX dan Hanif 9W2VHF.
Credit 9W2VHF |
Pertama kali dalam sejarah berjaya mendapat dua radiosonde mengikut waktu pelepasannya. Sebelah pagi dan malam kali ini jatuh ke darat. Pasti pasukan SAR tanpa disuruh pergi keluar memburunya.
Credit 9W2OCX |
Selepas selesai bergambar kenangan dan mengutip data, kami bergerak ke Jenjarom untuk meraikan kejayaan berganda. Masa ini peranti radiosonde dibedah siasat. Mencari punca isyarat telah mati. Hasilnya papan litar telah basah ketika berada di atmosfera.
Credit 9W2VHF |
Mengemaskini maklumat dalam pelbagai laman web berkaitan serta dalam media sosial. Setelah selesai sesuatu misi perlu dilaporkan penemuan setiap radiosonde. Ini penting bagi memaklumkan bahawa radiosonde ini berjaya dijumpai atau tidak. Jika sudah dijumpai tidaklah perlu mencarinya lagi. Namun jika belum, pasti kumpulan lain boleh cuba mencarinya semula. Begitulah caranya yang diharus dilakukan oleh setiap pemburu belon. Perlu memaklumkan setiap penemuan atau kegagalan bagi memudahkan pihak lain.
Credit 9W2OCX |
Pada malam itu juga, Arul 9W2OCX telah berbesar hati menyumbangkan setiap seorang vest pemantul cahaya. Sangat bagus dipakai terutamanya misi waktu malam seperti ini. Terima kasih Arul 9W2OCX bagi pembangunan aktiviti radiosonde di Malaysia. Selain itu, beliau menumpangkan pergi sekali menggunakan van. Ini memudahka misi pencarian di kala malam ini.
73, Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment