Belon KLIA pagi tadi jatuh di Hulu Teris dalam kebun kelapa sawit. Sebelum itu, berkumpul di kedai makan dekat Kota Warisan terlebih dahulu. Dua stesen yang turut terlibat ialah Arul 9W2OCX dan Che Ta 9M2SYG. Jatuh jam 9:41 pagi. Koordinat 2.71546 darjah Utara dan 101.64653 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 231m dan altitud ketinggian maksimum 30,660m.
Selepas sarapan bergerak ke Hulu Chuchoh sebelum menghala ke Hulu Teris. Menaiki vanfire Arul 9W2OCX lebih mudah dan efektif berbanding berkonvoi. Boleh bersembang dan merangka strategi bagi misi mencari dan menyelamat (SAR) ini.
Menghampiri lokasi kejadian Arul 9W2OCX mengeluarkan Go Box Budak Giler bagi mendapatkan koordinat terkini. Isyarat seperti biasa masih lagi aktif. Malangnya auto-rx atau Budak Giler Arul 9W2OCX gagal mendapat koordinat terkini. Masalah liputan internet menyebabkan tidak dapat mengunci koordinat terkini.
Seterusnya meneruskan pencarian menggunakan koordinat yang ada. Berjalan melalui kebun sayur terus ke masuk ke kebun kelapa sawit. Berpandu GPS Waypoint Finder terus ke titik akhir diketuai oleh Arul 9W2OCX. Kemudian terus mencari mengikut arah bomoh. Melilau juga mencari memandangkan laluan bomoh sangat bersemak dengan resam dan paku-pakis.
Credit 9W2OCX |
Mencarilah kami di kawasan liputan audio yang kuat setelah antena dicabutkan. Bunyi yang kuat berada di kawasan bomoh. Bergerak ke sana ke mari bagi mencari-cari bukti kewujudan peranti.
Laluan batas kawasan kebun tanaman kontan ke kebun kelapa sawit. Banyak sayuran ditanam seperti lengkuas, bendi, ubi kayu, dan kunyit. Kawasan ini sangat sibuk dengan pekebun kecil dan pekerja kelapa sawit. Laluan batu kelikir putih memudahkan akses hingga ke kawasan yang dicari.
Credit 9W2OCX |
Hampir 50 minit sejak bermula berjalan dari vanfire barulah benang berjaya dapat dikesan. Arul 9W2OCX dan Che Ta 9M2SYG ada terperasan benang di situ tapi menyangkakan kayu. Terus berlalu pergi mencari ke tempat lain pula.
Credit 9W2OCX |
Sebenarnya sewaktu itu, semua sudah kepenatan mencari. Namun, penulis tergerak hati terus mencari di kawasan bersemak dari arah belakang pula. Ketika memeriksa setiap baris tersebut dari belakang terlihat di depan mata benang tergantung. Belon di bawah pokok resam tersebut manakala peranti di hadapan lagi. Terus menjerit Binggo! ketika melihat benang tersebut. Bertambah seronoklah Arul 9W2OCX dan Che Ta 9M2SYG setelah berjaya menjumpai benda yang dicari.
Jejak hasil cerapan jam Garmin mode tactical. Jarak keseluruhan 3.10 km dalam masa 1 jam 11 minit 26 saat. Total ascent 217m dan jumlah tenaga yang digunakan sebanyak 456 kalori.
Kawasan kebun sawit yang dipenuhi paku-pakis ini memberi cabaran yang sangat besar. Kiri dan kanan kebun sawit ini sangat bersih dan kemas. Tetapi kawasan kebun ini tidak berjaga hingga paku-pakis tumbuh memenuhi segenap ruang.
Perlu menyelak pokok paku-pakis ini bagi melihat peranti yang jatuh di dalam. Namun benang yang tersangkut pada pelepah menjadi penyelamat. Benang yang tersangkut memudahkan belon dan peranti dapat dikesan.
Kawasan bersemak ini merupakan kawasan jangkaan bomoh. Peranti dan belon berada di laluan bomoh tetapi terlajak ke hadapan lagi. Jarak belon ditemui 118m dari titik akhir bagi altitud ketinggian terakhir 231m. Penuh muka ketika melalui kawasan ini. Sangat tinggi tapi terpaksa redah demi belon. Barulah Che Ta 9M2SYG faham bertapa sukarnya untuk mencari belon yang sangat mencabar rupanya.
Manakala jarak 106m merupakan jarak peranti yang ditemui ke titik akhir.
Kemudian kerja-kerja perekodan dilakukan. Arul 9W2OCX menunjukkan cara menghantar laporan penemuan kepada Che Ta 9M2SYG. Laporan setiap penemuan perlu dihantar pada laman sesawang sondehub. Ini memudahkan rakan lain maklum tentang kejayaan penemuan radiosonde ini.
Benang telah siap digulung oleh Arul 9W2OCX. Bukti bergambar hasil misi pencarian telah berjaya. Hampir putus asa. Namun sifat tidak mahu cepat mengalah akhirnya berbalas ketika berjaya menemui belon akhirnya. Alhamdulillah Syukur!
Seterusnya Arul 9W2OCX mengajak meninjau belon KLIA yang jatuh pada 11 Oktober 2024 yang lalu. Jarak tinggal 700 meter sahaja ke depan. Kamipun berjalan ke arah ladang kelapa sawit yang dimiliki oleh MAB.
Radiosonde 2405015814 berbaki 485m ke titik akhir. Namun terhenti kerana terdapat parit besar menghalang memasuki kawasan ladang kelapa sawit. Rugi tidak mencari belon ini kerana altitud ketinggian terakhir sangat rendah iaitu 93m sahaja. Pasti dapat menjumpai belon tersebut kerana altitud terakhir sangat rendah dan tepat jatuh di situ.
Parit dipenuhi tumbuhan terapung akuatik. Masih belum cuci bagi menghadapi monsun yang bakal datang tidak berapa lama lagi. Parit agak lebar sukar untuk dilepasi. Menjadi keutamaan syarikat perladangan membina parit sebagai pagar dan sempadan tanah.
Misi seterusnya menghala ke stesen ERL Salak Tinggi bagi mendapatkan belon malam tadi. Radiosonde 2405015166 jatuh berdekatan stesen ERL Salak Tinggi. Bertarikh 30 Oktober 2024 jam 22:19 malam. Belon dilepaskan agak lewat sewaktu malam tadi. Koordinat 2.83316 darjah Utara dan 101.71326 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 539m dan ketinggian maksimum 28,469m.
Malam tadi juga Arul 9W2OCX telah mengajak penulis untuk mendapatkan koordinat terkini. Kami bertemu di Kota Warisan sebelum menaiki vanfire ke stesen ERL ini. Tiba di hadapan pintu masuk Depot, operasi bermula dengan mengeluarkan Go Box Budak Giler. Berjaya mengunci koordinat baru pada malam itu.
Setelah berjaya mendapat koordinat baru kami menghala ke Taman Dahlia bagi mencari laluan masuk ke tempat kejadian. Oleh kerana gelap malam, sememangnya tidak dapat mengesan laluan masuk. Kemudian berpatah balik semula ke stesen ERL. Sewaktu di sini isyarat tidak dapat dikesan. Ini membawa kami ke stesen ERL semula. Arul 9W2OCX menjangkkan peranti telah digelek keretapi.
Jarak 233m merupakan jarak peranti setelah koordinat baru dari depan depot. Isyarat masih lagi aktif setelah kami berpatah balik sekali lagi.
Rakaman video suasana malam berhampiran depot ERL. Isyarat radiosonde terus aktif.
Pada kali ini, Arul 9W2OCX sekali lagi mengeluarkan Go Box Budak Giler. Menyambangkan Budak Giler ke internet membolehkan ia dilihat secara langsung dalam laman sesawang sondehub.
Pergerakan peranti dapat dilihat pada laman sesawang sondehub. Kami menjangkakan peranti tergantung menyebabkan ia bergerak. Koordinat sering berubah menandakan sedang bergerak ditiup angin. Perkara seumpama ini sering berlaku jika peranti tergantung. Pernah juga peranti jatuh di atas pokok kawasan bukit yang tinggi di Nilai. Selagi bateri tidak habis, selagi itulah isyarat terus memancar. Ada juga jatuh di atas kuari yang tinggi di Nilai juga. Tiba-tiba peranti hidup semula memancarkan isyarat. Padam setelah sumber tenaga bateripun habis.
Credit 9W2OCX |
Penulis beraksi bersama Go Box Budak Giler milik Arul 9W2OCX. Penting ada bersama ketika dilapangan. Terutamanya ketika altitud ketinggian akhir sangat tinggi. Setelah mendapat koordinat baru mudahlah untuk pergi mengutip belon sahaja.
Credit 9W2OCX |
Berbalik kepada misi SAR kedua ini, Arul 9W2OCX memandu ke Taman Dahlia. Terus mencari laluan yang boleh dimasuki kawasan kejadian. Akhirnya berjaya mengesan pintu masuk ke kawasan ladang. Terdapat Jalur Gemilang megah berkibar sebagai pintu utama. Nampaknya kawasan riadah bagi penduduk sekitar rasanya.
Selain itu, Jalur Gemilang terdapat sebatang pokok besar yang indah turut menyambut kedatangan kami. Arul 9W2OCX mengepalai jejak pada kali ini. Berjalan berhati-hati kerana permukaan laluan agak licin dan bercerun curam.
Seterusnya laluan mengikut laluan berteres memudahkan pergerakan. Kawasan ladang kelapa sawit yang agak bersih dan teratur. Pokok agak tinggi-tinggi dan agak berusia. Tidak lagi menghasilkan buah atau kurang. Bukit sebelah telah ditarah bagi pembinaan kawasan perumahan baru. Kemungkinan kawasan ini bagi fasa berikutnya.
Landasan ERL telahpun kelihatan. Petanda kawasan jatuhan belon semakin menghampiri. Kami melalui selekoh-selekoh agak bercerun dan laluan sawit yang luas juga.
Laluan sawit yang lapang seperti ini memudahkan perjalanan. Banyak menurun. Sejak mula melangkah masuk perjalanan lebih banyak menurun hingga ke kawasan jatuhan belon.
Terus menurun menghampiri kawasan landasan. Banyak laluan sawit mengikut teres dan bentuk muka bumi. Tetap turun dengan penuh berhati-hati. Tiba-tiba satu tapak kasut Arul 9W2OCX telah tertanggal sebelum menghampiri belon. Terpaksalah berjalan dengan penuh hati-hati.
Seterusnya Arul 9W2OCX meminta Che Ta 9M2SYG pergi mencari belon di hadapan beberapa langkah lagi. Setelah beliau berjaya menemui, aktiviti perekodan diteruskan. Kejayaan kedua SAR pada hari ini. Misi SAR ini lebih kepada mengutip belon dan peranti sahaja.
Jarak 183m ini merupakan jarak titik akhir yang asal altitud ketinggian 539m. Nasib baik malam tadi berjaya mendapatkan koordinat yang baru. Jarak asal 183m itu sangat jauh. Pasti agak sukar untuk mencari peranti dengan keadaan muka bumi yang beralun ini. Alhamdulillah Syukur! dapat mengesan koordinat baru pada malam itu. Tergerak hati Arul 9W2OCX untuk bergerak pada malam itu.
Hasil mengutip. Malas bergerak pasti tidak dapat apa-apa. Hanya perlu usaha masuk ke kawasan ladang kelapa sawit tua tersebut.
Radiosonde 2405015166 dalam genggaman. Usaha bergerak pada malam tadi telah membuahkan hasil. Usaha tangga kejayaan.
Stesen 9W2DYA-5 sempat diaktifkan bagi menandakan kawasan peranti yang ditemui. Altitud ketinggian 33m menyamai catatan pada hasil pencarian koordinat malam tadi.
Pemandangan bangunan berhadapan merupakan dalam kawasan Universti Xiamen Malaysia. Penulis pernah mencari belon berdekatan tasik dalam kampus universiti tersebut. Ini menandakan arah angin masih sama walaupun kawasan jatuhan belon di tempat yang berbeza. Beberapa hari sebelum ini, belon yang dijumpai adalah masih kawasan yang sama pernah jumpa belon beberapa tahun yang lalu juga. Ini menunjukkan kitaran angin masih arah tempat yang sama.
Cabaran untuk berpatah balik lebih hebat. Perlu mendaki semula ke pintu masuk yang ada Jalur Gemilang tersebut. Berpatah balik pastilah terus mendaki tanpa ada perasaan belas kasihan. Perlu mengikut laluan yang sama untuk balik ke vanfire Arul 9W2OCX.
Laluan tanah merah sambil mendaki sewaktu panas petang boleh tahan azabnya. Berpeluh jantan pasti menyegarkan tubuh badan. Pemandangan indah kawasan bukit ini secara tidak langsung melupakan lelah seketika.
Ketika menghampiri jalan keluar, Arul 9W2OCX telah terbelok salah simpang. Laluan ke puncak pemandangan indah. Melihat kepada jam Garmin altitud ketika itu 70m dari aras laut. Kemudian terpaksa menurun semula hingga bertemu Jalur Gemilang semula. Ada laluan sepanjang permatang bukit ini.
Akhirnya sampai ke vanfire semula dengan muka agak kepenatan. Sampai di kedai semula terus memesan air dan makanan. Tuntasnya semangat kerjasama yang padu pasti membuahkan kejayaan. Tahniah kepada Che Ta berjaya mengahrungi misi SAR yang agak mencabar juga. Pasti mendapat pengalaman yang berharga dalam mencari belon kajicuaca ini.
Jumpa dan jumpa lagi
Selamat Memburu
73, Jojet de 9w2dya