Konvensyen Rakan NADMA 2024


 Sebelum ke saltmine sempat singgah ke Konvensyen Rakan NADMA. Konvensyen ini diadakan di sebuah hotel di Putrajaya iaitu Double Tree. Ia anjuran NADMA dan Disaster Preparedness and Prevention Centre (DPPC) MJIIT, UTM dengan kerjasama Rakan NGO Malaysia dalam pelbagai sektor. MARTS turut diberi penghormatan untuk mempamerkan maklumat tentang komunikasi kecemasan mewakili penggiat radio amatur di Malaysia.


Merujuk kepada laman sesawang aprs.fi banyak stesen telah berada di tempat kejadian. Mencari parkir yang sesuai di luar hotel telah banyak kenderaan. Masuk hingga ke hujung bertemu Firdaus 9W2HFO baru keluar keretanya. Telah perhatikan stesen 9W2HFO-10 telah bergerak ke arah sini. Ternyata selisih dengan beliau hendak ke tempat kejadian.


Kemudian keluar balik mencari parkir di sebalik belakang berdekatan dengan sebuah Universiti. Tak mahu parkir sebarangan di dalam kawasan lapang tersebut takut kena halang. Jikalau kena halang pasti sukar untuk keluar memandangkan sebelum jam 12.30 tengah hari perlu tiba di saltmine.


Kemudian berjalan ke Hotel Double Tree mencari lokasi konvensyen tersebut. Terlihat di sebelah kanan kain pemidang tertera konvensyen ini. Sahlah lokasi berada di situ. Melihat ruang-ruang pameran telah berada di hadapan mata. Melangkah terus mencari ruang pameran MARTS terlebih dahulu.


Reruai MARTS berada di barisan tengah berhadapan dengan pintu lobi. Sudah pastilah ajk tertinggi MARTS berada di situ untuk berkongsi maklumat tentang peranan radio amatur dalam komunikasi kecemasan. Pelbagai peralatan radio komunikasi termasuk antena telah dipamerkan. Che Ta 9M2SYG bersedia menerima pengunjung untuk berkongsi maklumat. Weerut 9W2RUT dan Faizal 9W2RLG sibuk memastikan segala radas berkeadaan baik.


Bersalaman juga bersama Ahmad Husaini 9M2HUS dan bertemu Firdaus 9W2HFO sekali lagi di reruai MARTS. Ramai rakan Ham turut hadir dalam kovensyen ini mewakili organisasi masing-masing. Satu stesen yang aktif 9M2VDY-5 tidak pasti berjumpa atau tidak dengan stesen ini.


Handheld yang dipamerkan di reruai MARTS. Manual pada kota tertera multifuntional handheld. Sebelah itu adalah antena. Radio seperti sudah pasti mudah dibawa ketika bencana alam berlaku.


Peralatan komunikasi yang digunakan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Alat komunikasi yang baik dan bagus pastilah memudahkan tugasan semasa berlakunya bencana. Maklumlah apabila bencana pasti bekalan tenaga terputus. Pastikan alat komunikasi mampu berfungsi dengan baik ketika itu.


Gobox seperti ini mudah dibawa dan dikendalikan semasa kerja-kerja dilapangan. GObox melindungi radio dari sebarang gegaran dan hentakan semasa bawa ke mana-mana.


Keseluruhan suasana reruai APM mempamerkan model dan pealatan yang sering digunakan semasa misi bantuan kemanusiaan semasa bencana.


Dron yang digunakan untuk mengambil gambar semasa banjir contohnya. Model Sensorfly eBee X digunakan oleh Bahagian Geospatial Pertahanan JUPEM.


Satu lagi dron yang digunakan untuk mengambil gambar adalah model DJI Matrice 300 RTK. Dron ini mempunyai 4 bilah kipas untuk menerbangkan mengambil foto.



Satu lagi dron oleh Bahagian Geospatial Pertahanan JUPEM. Model ini lebih keci lagi iaitu DJI M30 dan sama mempunyai 4 bilah kipas. Teknologi dron yang digunakan memudahkan kerja memantau kawasan bencana seperti banjir.


Hasil foto yang diperolehi melalui dron-dron tadi ditukar menjadi peta digital. Peta-peta ini dapat menjadi rujukan agensi lain bagi memudahkan memberi bantuan ketika kejadian tersebut berlaku. Ia juga dapat digunakan untuk merancang strategi serta membantu merancang kerja menyelamat dan tindakan di masa hadapan juga. Pegawai tentera tiga unit bertugas di reruai Bahagian Geospatial Pertahanan JUPEM. Penulis mendapat info dari salah seorang daripada pegawai tersebut.


Kemudian ke reruai pasukan SMART. Ada model bangunan runtuh disebabkan bencana. Peralatan yang digunakan menyelamatkan mangsa runtuhan bangunan turut dipamerkan.


Peralatan hidrolik kelihatannya mungkin untuk mengangkat beban ketika runtuhan sesebuah bangunan seperti rumah. Lupa nak tanya kepada pegawai yang bertugas, Sebelahnya kelihatan seperti kamera berkuasa tinggi. 


Alat menyelamat mangsa di tempat tinggi. Raga membawa mangsa menyeberang dari satu titik ke titik yang lain. Mungkin juga ditebing tinggi mangsa jatuh ke bawah. Sistem takal dengan tali kernmentle yang digunakan itu mampu menahan beban dengan daya yang tinggi. Kelihatan karibiner, sling dan takal digunakan dalam sistem menyelamat tali tinggi ini yang diamalkan oleh pasukan SMART.


Kelihatan juga di raga membawa mangsa turut terdapat satu sistem lagi. Kemungkinan digunakan untuk penyelamat turun membuat abseiling ke bawah. Peralatan mendaki dan menyelamat ini sangatlah mahal dan berbaloi dengan fungsinya yang menyelamatkan nyawa. 


Alat pemotong besi bagi menyelamat mangsa di bangunan mahupun jambatan atau apa-apa sahaja yang menimbus mangsa. Terdapat beg-beg mengandungi peralatan menyelamat pasti. Model patung lengkap berpakaian menyelamat aksesori memudahkan memberi bantuan.



Sebelah reruai SMART adalah pasukan Bomba dan Penyelamat. Pelbagai peralatan memadam api dalam pelbagai saiz dipamerkan. Risalah-risalah keselamatan turut diletakkan atas meja.


Seterusnya reruai Malaysia Relief Agency (MRA). NGO yang aktif memberi bantuan kemanusiaan. Boleh juga menyertai aktiviti sukarelawan bagi misi bantuan kemanusiaan.


Sebelahnya pula reruai Humanitarian Care Malaysia (MYCARE). Satu lagi badan bukan kerajaan memberi bantuan kemanusiaan serta tempat perlindungan kepada mangsa. Bantuan Kecemasan Gaza MyCARE turut dilancarkan.


United Nations Humanitarian Response Depot (UNHRD) agensi antarabangsa dalam pengurusan bencana.


Sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Mempunyai depot bagi memberi bantuan kemanusian ke serantau. 


Reruai Jabatan Kebajikan Masyarakat yang kosong. Peranan JKM di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sangat penting menyediakan tempat perlindungan sementara serta menyediakan makan dan minuman secukupnya kepada mangsa.


Selain Badan Bukan Kerajaan, pihak institut pengajian tinggi turut mengambil bahagian. Kepakaran dan bantuan khidmat nasihat amat diperlukan semasa berlaku sesuatu bencana.


Reruai NADMA terletak di dalam lobi bersama UTM. Banyak risalah boleh dikongsikan bersama pengunjung.


Reruai Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) dan juga Persatuan Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADIM Malaysia). Penulis tidak pernah tahu tentang kedua pertubuhan ini. Pertama kali mendengarnya. Rupanya banyak pertubuhan NGO berkaitan bencana.


Reruai TNB Research SDN BHD turut mengambil bahagian dalam konvensyen ini.


Reruai Malaysian Medical Relief Society (MERCY) tidak kurang menariknya. Ada model tangga rumah yang telah dihanyut Sungai Lui ketika banjir besar beberapa tahun yang lalu. Pempamer berkongsi dengan penulis tentang MERCY ini. Penulis sewaktu banjir sehari selepas telah berada di Sungai Lui juga. Memang keadaan ketika itu sangat teruk. Anak sungai bertukar ganas dari kesan terhadap laluan utama hampir dilimpahi. Walaupun sehari selepas kejadian tersebut. Air anak sungai itu masih mengalir atas laluan jalan raya. Sempatlah membantu mengalihkan batu-batu yang bergelimpangan atas jalan bagi memudahkan kenderaan lalu.


Tiang elektrik melintang jalan agak merbahaya ketika itu talian elektrik masih belum diputuskan lagi. Bantuan bencana belum lagi belum masuk. Kemudian beberapa hari selepas itu barulah pelbagai agensi dan NGO masuk memberi bantuan. Sempat jugalah ketika itu melihat keadaan kem sahabat penulis di kampung Orang Asli di situ. Habis kem sahabat penulis musnah akibat air yang melimpah bersama-sama kayu balak hanyut juga. Turut membantu mengemas kem selepas beberapa hari kemudian. Sangat dahsyat dan manakutkan pasca banjir ketika melihatnya.


Semasa KPLI di kampus sebelah utara semasa minggu orientasi. Penulis bersama pelatih dari pelbagai kampus sebelah utara telah mengikuti program khidmat masyarakat kepada mangsa tsunami di Balik Pulau. Kami para pelatih guru telah bergotong-royong membersihkan rumah-rumah mangsa Tsunami tersebut. Lumpur tsunami sangatlah tebal kawasan sekitar rumah. Bekerjasama membersihkan setiap kawasan rumah mangsa. Pasti menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan melihat kesan tsunami tahun 2004 telah 20 tahun berlalu. Lihat pada kesan sangatlah menakutkan juga jika berada semasa kejadian. Orang-orang tua berkata ombak tiga beradik ini sememangnya amat menakutkan. Ini bermakna sejak zaman dahulu lagi datuk nenek moyang  orang Melayu telah tahu kewujudan ombak tiga beradik ini.


Kemudian naik ke tingkat dua tempat berlangsungnya konvensyen di Kenyir Ballroom. Ahli panel bersama moderator membincangkan topik dan tema yang diperuntukkan pada setiap sidang.

No comments:

Post a Comment

Melilau Mencari

  Belon KLIA pagi tadi jatuh di Hulu Teris dalam kebun kelapa sawit. Sebelum itu, berkumpul di kedai makan dekat Kota Warisan terlebih dahul...