Menyusup Masuk


 Belon KLIA pagi tadi radiosonde 2405015171 telah jatuh di Kampung Jijan. Manakala belon KLIA malam tadi, radiosonde 2405015199 turut jatuh di lapang sasar golf di Kota Seriemas. Lokasi berdekatan di antara satu sama lain. Menjadi kebiasaan mendapatkan belon yang baru jatuh terlebih dahulu sebelum pergi mencari yang lain. Sebab apa? Isyarat radio masih boleh didengari lagi. Setelah menghampiri kawasan dan menerima isyarat yang berbunyi sudah tentu menyeronokkan kerana ternyata belon sememangnya telah berada di lokasi tersebut. Hanya jauhari mengenal manikam.


Harapan penulis agar pembaca yang mengikuti setiap entri dapat mencuba pula mencari belon kaji cuaca. Belum cuba belum tahu. Ada tempat yang mudah serta sebaliknya juga. Jikalau perlu bantuan pasti penulis sudi menunjuk ajar dan berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Ramai pemburu belon yang lain boleh dihubungi seperti di Johor, Pulau Pinang, Kuantan serta Kota Bharu. Ini berdasarkan lokasi belon kaji cuaca dilepaskan.



Kembali kepada belon KLIA pagi tadi telah jatuh jam 9:27 pagi. Koordinat 2.75778 darjah Utara dan 101.77839 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 107m dan altitud ketinggian maksimum 28,321m. Maklumat  berserta gambar satelit seperti di atas dapat membantu mencari belon tersebut dilapangan. Setiap tangkap layar di atas perlu disimpan dengan baik bagi rujukan semasa misi mencari. Jangan percaya gambar satelit di atas. Kemungkinan ia merupakan gambar lama. Pasti ada perubahan semasa turun di lapangan sebenar. Paling penting dapat melaraskan kedudukan sebenar dengan arah belon tersebut. Gambar menegak ke atas pastilah mengarah ke utara.


Memandu dari Bangi Lama melalui Bukit Mahkota terus ke Pekan Nilai. Menghala ke Salak belok kiri setelah tiba simpang Kota Seriemas. Semasa melalui kawasan padang golf mengintai jika terlihat belon malam tadi. Guna google map sahaja. Letakkan koordinat seperti berikut 2.75778 N 101.77839 E lepas itu tekan search. Pasti ia akan membawa arah koordinat yang dimasukkan tadi. Sungguh mudah bukan.


Setelah tiba di lokasi ternyata kawasan dalam gambar tersebut telah bertukar menjadi kawasan belukar bersemak. Tuan tanah membiarkan tanah tanpa dijaga hingga pokok-pokok liar hidup bebas membesar. Jadi bersedialah menerima sebarang kemungkinan. Apa yang pasti lokasi belon adalah tepat. Sebelah tanah bersemak ini terdapat tanah kebun yang berpagar. Kebetulan tuan tanah ada, terus memberi salam serta memaklumkan tujuan berada di situ.


Kemudian lalu tepi pagar tersebut untuk mengarah ke lokasi belon jatuh. Ternyata benang tersangkut pada pokok jering di tepi rumah. Terus memberi salam kepada tuan rumah yang sibuk mengerjakan sesuatu. Rupanya tepi rumah itu dijadikan bengkel membuat keris dan parang pada pengamatan penulis. Pakcik tuan rumah itu sibuk membuat hulu  keris atau parang tidak pasti. Belon jatuh di tepi rumah tersebut dan peranti elok tergantung. Jarak ke titik akhir hanya 8m ke peranti yang djumpai bagi altitud terakhir 107m.



Sempat pinjam galah untuk mengait peranti yang tergantung pada pokok jering agak tidak tinggi. Kait punya kait peranti melurut turun sendiri oleh tarikan graviti. Kemudian menghulurkan kepada pakcik untuk memotong benang pada peranti. Ucap terima kasih kemudian meletakkan hasil tangkapan atas meja di bengkel tersebut. Sebelum itu datang dua orang pekerja lain rasanya. Sempat bercerita tentang belon kaji cuaca yang dilepaskan dari METMalaysia di Sepang. Merekapun banyak bertanya bagi mengetahui maklumat lanjut.


Kemudian bersalam dan minta izin untuk beredar selepas misi mencari telah selesai. Berjalan keluar ke jalan kampung semula. Tepi jalan mencari tempat teduh untuk menghantar laporan ke sondehub pula.


Selesai melapor terus ke kereta yang diletakkan di tepi Jalan BBB namanya. Seterusnya misi ke kelab golf di Kota Seriemas pula. Tidak perlu guna google map. Laluan yang sama ketika masuk tadi dilalui semula. Laluan kampung yang sempit perlu bawa berhati-hati.


Keadaan semak yang tumbuh pokok-pokok liar lokasi belon pagi jatuh. Tidak masuk dalam semak. Cari laluan tepi seperti pagar kebun itu memudahkan akses ke lokasi belon. Perlu guna kebijksanaan dan melihat keadaan persekitaran juga. Lagi-lagi masuk tempat orang kena pakai otak bukan pakai parang. Bait-bait lagu yang sentiasa simpan diingatan.



Belon KLIA malam tadi jatuh di lapang sasar golf Kota Seriemas. Jatuh jam 21:44 malam bertarikh 2 November 2024. Koordinat 2.77851 darjah Utara dan 101.76859 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 111m dam altitud ketinggian maksimum 27,268m. Stesen radiosonde MDZ_BASE bekerja dengan baik di Nilai. Kawasan persekitaran yang hampir dengan Nilai memudahkan mengesan isyarat hingga ke altitud yang  rendah sekali. Lagi rendah altitud lagi tepatlah jatuh di kawasan tersebut.



Peranti dan belon berada dalam kawasan lapang sasar yang berpagar tinggi. Jumpa dekat papan tanda jarak 175m dari bola golf dipukul. Ketika tiba lapang sasar ini tiada orang yang menggunakannya. Menyusur tepi pagar dengan berhati-hati. Menghampiri titik akhir berjaya melihat peranti tergolek di atas tanah merah lapang sasar ini. Jarak 25.6m merupakan jarak titik akhir ke peranti yang dijumpai bagi latitud terakhir 111m.


Menyusup masuk bawah pagar terus ke peranti. Peranti menghadap pagar lapang sasar. Belon berada di hadapan berhampiran pagar yang tinggi itu. Kemudian terus ambil peranti dan belon seret benang bawa keluar terlebih dahulu. Sempat ambil jarak lokasi ke titik akhir. Luar pagar barulah operasi menggulung benang dijalankan dengan pantas.


Usai menggulung benang terus menghantar laporan ke laman sesawang sondehub. Setelah dapat isyarat OK! terus berjalan pantas ke arah parkir kereta semula. Kali ini serpihan belon agak besar juga. Sampai kereta terus masuk bonet. Tanpa menoleh kiri kanan terus memandu keluar semula. Alhamdulillah misi berjaya dilaksanakan secara solo pagi ini. Penutup kepada cuti Deepavali selama lima hari dengan aktiviti mencari belon sahaja.


Belon selonggok berhampiran dengan pagar lapang sasar. Sekali angkat agak besar juga berbaki belon tersebut. Biasa dapat pecah semua tinggal bahagian  muncung masuk angin sahaja.


Hasil tangkapan belon malam tadi di tepi pagar kawasan padang golf Kota Seriemas. Risau juga jikalau masuk kawasan padang golf yang luas itu. Rezeki jatuh di lapang sasar sahaja.


Stesen 9W2DYA_Chase dengan lima belon yang berjaya dicari selama lima hari bercuti. Tong yang berpangkah itu bermaksud gagal ditemui. Semasa pulang, stesen radisonde MDZ_BASE berjaya mengesan radiosonde yang pagi tidak dipadam kuasa baterinya. Ia sengaja diaktifkan bagi menilai sama ada masih boleh dikesan semasa memandu di Nilai. 



Saksikan dua video pendek hasil kreativiti Cikgu Zak 9M2ZAK. Merancakkan lagi aktiviti memburu belon bagi dikongsikan di media sosial. Terima kasih dan ucapan penghargaan atas video yang dibuat tersebut kepada Cikgu Zak 9M2ZAK yang berada di Kulai.

Jumpa dan jumpa lagi.
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...