Reruai Change Maker di KLESF 2024


 
Pada hari sabtu yang lalu bertarikh 9 November 2024, berkesempatan membawa Damia ke KLESF 2024. Pesta Kejuruteraan dan Sains Kuala Lumpur 2024 telah berlangsung di Pusat Konvensyen dan Persidangan Antarabangsa Mines, Sungai Besi. Berlangsung selama tiga hari bermula 8 November 2024 hingga 10 November 2024.


Pelbagai program yang menyeronokkan telah disediakan kepada para pengunjung. Sudah pastilah aktiviti zoo petting menjadi pilihan Damia yang meminati haiwan-haiwan jinak dan eksotik. Reruai zoo petting mengenakan bayaran masuk RM6 seorang.


Sebelum itu melalui MIGHT Pavilion yang menyediakan pelbagai aktiviti dan ruang pameran. MIGHT merupakan singkatan Malaysian Industry-Goverment Group For High Technology. Badan ini menggalakkan pertumbuhan ekonomi berdasarkan penggunaan teknologi terkini


Pavilion MIGHT ada menyediakan pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh badan-badan yang berkaitan dengan sains dan teknologi. Damia telah mencuba menjawab soalan kajian kerjaya masa hadapan. Setelah menjawab soalan, perisian tersebut mencadangkan kerjaya yang sesuai. Teknologis Alam sekitar telah dicadangkan kerana Damia meminati kepada dunia haiwan.


Setelah berjaya menjawab kajian kerjaya tersebut, menuntut pin-pin yang boleh dipilih mengikut citarasa sendiri. Damia memilih pin latar belakang atom yang cantik dan menarik. Ini telah menambahkan lagi koleksi pinnya.


Apadilangit mempromosikan aktiviti astronomi. Badan ini turut menganjurkan kem angkasa yang disertai oleh anak-anak yang minat tentang cakerawala. Orang ramai juga boleh mempelajari ilmu astronomi dan Falak.


Burung Kakaktua yang berwarna putih ini pandai menyebut 'Hello' Keletahnya sangat mencuitkan hati. Sangat garang jika ada pengunjung cuba mengganggu ketenteramannya. Apa bila ada mood baik burung ini menari-nari apabila ada yang menepuk-nepuk tangan kepadanya.


Reruai Petrosains menyediakan permainan carbonapoly dan Maths kits. Sudah pastilah pengunjung dan menguji kecekapan dalam menyelesaikan sebarang masalah. Petrosains di KLCC tersebut telah di kunjungi Damia. Kali ini, Petrosains pula turun padang bagi memeriahkan lagi aktiviti di KLESF ini.



Burung parrot ini juga sangat jinak. Suka bermain dengan orang juga. Perlu menghulurkan tangan dan jari terlebih dahulu sebelum hinggap dengan senang hati.


Reruai Pusat Sains Negara juga sangat interaktif. Ruang pameran dan aktiviti pasti menyeronokkan. Pusat Sains Negara di Bukit Kiara turut pernah dikunjungi Damia. Sangat seronok bermain sambil belajar sesuatu.


Reruai DreanEdge  VR memberi pengalaman baru menggunakan teknologi realiti maya merasa seolah berada suasana yang betul dalam kejuruteraan dalam menyelesaikan pelbagai masalah. Teknologi realiti maya membawa peserta terlibat meneroka sesuatu dengan seolah berada dalam keadaan persekitaran sebenar.


Permata Pintar F1 in Schools mempromosikan perlumbaan model sukan F1 di sekolah-sekolah. Beberapa tahun yang lau, saltmine penulis pernah memiliki sebuah pasukan F1 in schools ini. Ia sangat bagus menggalakkan murid meneroka dunia kejuruteraan enjin dan rekacipta model yang berdaya saing.


Meraque drone simulator turut memperkenalkan teknologi drone dalam perlumbaan di dalam jaring. Pasti lebih selamat dan terjamin pada pengunjung lain. Boleh belajar mengendalikan drone dengan betul dan baik serta dalam lingungan yang selamat.


Banyak aktiviti-aktiviti yang boleh dicuba oleh para pengunjung. Aktiviti ujikaji pasti seronok mengimbau kembali semasa zaman sekolah dahulu. Anak-anak pula dapat meningkat pengetahuan serta menarik minat terhadap sains dan teknologi. Mencuba  melakukan sesuatu dengan bimbingan pasti lebih menyeronokkan. Pengalaman seperti ini jarang didapati di mana-mana. Hasil dapatan ujikaji dapat dirungkaikan serta memberi jawapan sama ada hipotesis ternyata atau tidak.


Selain ujikaji sains, aktiviti bengkel berkaitan sains dan teknologi turut diadakan. Bengkel-bengkel ini membolehkan para pengunjung terutama kanak-kanak dapat melakukan sesuatu perkara yang baru. Selain pengalaman, turut memberi pengetahuan serta ilmu yang baru.

Damia bermain burung warna hijau yang sangat mesra dengan pengunjung. Suka dengan orang menyebabkan menjadi tarikan utama dalam reruai ini.


Turut diadakan juga pelbagai pertandingan berkaitan sains dan teknologi sepanjang pesta ini berjalan. Pertandingan dapat menguji pemahaman tentang ilmu sains dan teknologi. Berikut pertandingan yang dijalankan;
KLESF International Challenge 2024, Creative Science Drama, STEM Cube Challenge dan sport stacking Challenge.


Hamster yang comel-comel ini mudah dipegang. Ada banyak dalam bekas biru tersebut boleh dipegang dengan berhati-hati dan cermat. Tidak gigit dan seronok bila dipegang dengan baik.


Anak ayam yang berwarna-warni ini turut menarik perhatian Damia untuk bermain. Anak ayam yang disuntik pewarna ini sangat cantik ketika masih kecil lagi. Semakin besar akan kembali ke warna asal seekor ayam. Ada anak-anak yang geram mencampak anak ayam tersebut ke dalam bekas biru tersebut. Mungkin ingin melihat anak ayam ini menggunakan kepaknya.


Drone yang ditunjukkan beraksi dalam perlumbaan menarik minat generasi masa kini. Bukan setakat mengambil sudut gambar yang sukar dan cantik sahaja. Kini drone turut digunakan dalam sukan kompetitif hingga ke peringkat antarabangsa.



Teknologi drone untuk mengambil gambar dan video menghasilkan hasil karya lebih baik. Dahulu mengambil gambar terpaksa menggunakan helikopter yang memerlukan kos yang tinggi. Namun, kini teknologi drone memberi sudut pemandangan udara lebih menarik dan cantik terutamanya karya kreatif.


Kit memasang drone boleh dipelajari pelbagai peringkat umur. Teknologi aeroangkasa turut diaplikasikan di samping bidang sains dan teknologi yang lain. Menguji minda serta kesabaran juga. Fokus serta berinteraksi bagi mencari  penyelesaian masalah.


Trek kereta F1 in Schools menarik perhatian kerana kepantasan kereta ini bergerak. Bergantung kepada reka bentuk kereta yang lebih aerodnamik. Model-model lereta F1 ini mengajar murid lebih kreatif disamping menggunakan pengetahuan sains terutamanya fizik.

Trek berkembar ini menggunakan teknologi tekanan udara membolehkan model kereta bergerak sangat laju. Melepasi garisan penamat kereta diberhentikan dengan halangan sebelum berhenti melanggar penghujung trek. Daya yang laju kepada daya yang perlahan sebelum berhenti sepenuhnya.


Bakal jurutera F1 dalam proses pasti akan melahirkan banyak teknologis bagi mengisi kekosongn jawatan mahupun sebagai inovator mencipta sesuatu yang baru. Secara tidak langsung F1 in Schools ini sangat berfaedah kepada murid yang terlibat.


Seterusnya ke reruai Change Maker dapat berjumpa ramai pengendali radio amatur. Kumpulan yang minat penggunaan teknologi terkini dengan radio amatur dapat bertemu di sini berbola mata. Radio amatur amat luas penggunaannya. Tidak terikat kepada konvensional sekadar bercakap di udara sahaja. Seiring dengan peningkatan dan perkembangan teknologi semasa. Kumpulan ini turut berdaya maju mengikuti perkembangan yang dapat digunakan dalam radio amatur.


Reruai change  maker ini mempersembahkan gabungan teknologi dan seni persembahan. Robot bermain alat muzik pasti menyeronokkan. Alunan lagu yang dimainkan tidak ubah seperti pemain alat muzik profesional.


Hebat! bukan, robotpun boleh diaturcara mengendalikan alat muzik yang bunyi merdu dan berirama. Pasti menarik perhatian pengunjung yang ada di pesta ini.


Rakaman video robot bermain alat muzik. Gabungan teknologi dengan seni persembahan amat menarik sekali.


Selain robot bermain alat muzik, terdapat dua lagi robot yang boleh bercakap dan respons melalui kamera. Satu lagi robot pandai menulis tulisan cina.


Robot yang ada kamera ini boleh lihat di skrin gambar yang dilihatnya. Sambil melihat turut respons apa yang dilihatnya. Robot menyebut benda yang dilihatnya.


Reruai Change Maker turut menyediakan aktiviti pematerian lencana. Tidak pasti badge apa? Harga RM10 dan RM12 dengan buzzer. Rasanya lencana yang membunyikan kod morse. Weerut 9W2RUT turut menyuruh memilih PCB Ruler yang dihasilkan oleh SVT Maker. Rakan ham juga Stanley 9W2SVT  yang sangat aktif dalam aktiviti Maker ini. Banyak peranti yang berguna telah dihasilkan oleh beliau seperti tracker APRS.


Radio HF turut di pamerkan di samping hand held dan peranti-peranti LoRa APRS dan meshtastic ttgo. LoRa APRS berkembang pesat penggunaannya kerana keupayaan mencapai jarak yang jauh bagi jalur UHF.


Panel solar portable menjana tenaga memastikan sumber berterusan mengaktifkan LoRa mahupun Meshtastic. ESP32 sangat memudahkan untuk di bawa ke mana-mana kerana saiznya yang kecil itu. Menggunakan daya kreativiti menghasil bekas yang sesuai dengan reka bentuk dan kegunaannya. Ada juga yang togel menggunakan board ESP32 semata.


Pada masa kini LoRa sangat mudah dihasilkan. Sekadar menggunakan telefon pintar kita boleh mengubah segala maklumat. Ini kepada yang sangat mahir dalam penggunaan perisian komputer. Penulis secara peribadi hanya pandai menggunakan perkakasan yang sudah siap sahaja.


Laptop menunjukkan liputan stesen meshtastic yang aktif di Lembah Klang. Hand held yang berwarna hijau kuning itu turut menarik perhatian. Ada beberapa model hand held turut dibina fungsi APRS. Mudah digunakan hanya sekadar mengaktifkan hand held tersebut sahaja.


Casing berwarna oren sangat bagus digunakan di lapangan ketika berlaku bencana contohnya. Pembuatannya mestilah tahan lasak dan tahan kalis air. Antena yang sesuai agar gelombang bergerak dengan lebih jauh lagi.

Credit 9W2RUT
Pengendali radio amatur yang hadir memberi sokongan kepada Change Maker. Peminat komunikasi digital ini bertukar-tukar fikiran dan minat dalam mengikuti perkembangan teknologi yang boleh digunakan dalam radio amatur.


Contohnya APRS semakin meriah dan berkembang mendapat sambutan dalam kalangan pengendali radio amatur. Lebih lagi kemunculan LoRa telah menarik minat ramai aktif dalam radio packet ini. Bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Mana-mana dapat dilihat ramai pengendali radio amatur turut mengaktifkan APRS LoRa. Hanya menggunakan kuasa yang kecil dapat bergerak mencapai jangkauan yang jauh.


Bertentangan dengan reruai Change Maker terdapat robot yang bergerak aktif. Robot-robot yang biasa dilihat di Jepun turut mengambil bahagian di KLESF ini. Sungguh rancak menari dan pengunjung terutama kanak-kanak boleh meniru pergerakan yang dilakukan oleh robot itu.


Memaparkan rakaman video lebih jelas melihat robot ini beraksi. Umpama penari profesional beraksi tanpa rasa letih dan jemu.


Makers@USM menunjukkan robot kecil dan robot transformers daripada kayu. Damia minat bermain mencuba robot kayu tersebut. Kemudian kami meronda-ronda ke reruai lain pula.


Tiba di pavilion Permata Pintar memaparkan aktiviti robotik. Robot yang bergerak bebas ini menarik minat Damia. Turut dipamerkan pingat dan piala kemenangan yang dicapai oleh Pusat ini di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.


Robot beraksi sukan Sumo. Robot berlawan mengeluarkan pihak lawan di kawasan permainan. Robot yang ditolak keluar akan kalah. Pemenang adalah robot yang berjaya menolak lawan keluar di gelanggang perlawanan. Pada awalnya kedua robot ini hilang arah. Kemudian terpaksa bermula semula, barulah berlawan sesama sendiri. Selain robotik, aktiviti astronomi turut diadakan di sini.


Akhir sekali, melihat-lihat hasil pembentang-pembentang dalam menyelesaikan sesuatu isu dalam menggunakan sains dan teknologi. Pelbagai sekolah terlibat termasuklah dari luar negara juga. Ini memberi banyak idea dan pengetahuan baru setelah melihat idea-idea yang dikemukakan.

Pameran ini sangat bagus mendedahkan anak tentang perkembangan teknologi terkini. Minat terhadap STEM perlu dipupuk dan disemai sejak dari kecil lagi. Mereka pewaris negara masa depan yang akan mencorakkan kejayaan negara nanti.

Tahniah juga kepada rakan Ham yang aktif dalam Maker melibatkan radio amatur dalam perkembangan teknologi terkini agar tidak ketinggalan dengan negara luar. Seiring dengan teknologi yang pesat perlu juga pemikiran maju kehadapan juga. Perubahan yang ada perlu dinikmati dan digunakan secara berhemah.

Jumpa dan jumpa lagi
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...