Bukit Gangis ketinggian 417m dari aras laut berjaya dijejaki pada hari ini. Bukit ini mudah untuk menyelusuri jalan berturap hingga ke puncak. Kawasan puncak merupakan larangan. Ini kerana menara pemancar telekomunikasi didirikan di sini.
WX redup selepas hujan melancarkan pendakian hingga ke puncak. Kadang kala kabus di sekitar jalan dan kawasan hutan menyamankan suasana. Walaupun bergerak agak lewat disebelah tengah hari, cuaca sebegini seumpama memberi lampu hijau untuk menawan puncak.
Pergerakan keluar dari base station agak lambat sementara menanti hujan reda sebelah pagi. Lagipun ke Seksyen 16 Bandar Baru Bangi untuk mengambil kasut terlebih dahulu. Kasut dihantar jahit bagi mengukuhkan lagi jahitan dibahagian tapak. Sudah menjadi kebiasaan tapak akan tertanggal kerana gamnya sudah tidak kukuh lagi. Penyelesaiannya dengan menjahit disekeliling tapak pasti memberi kepuasan untuk membelasahnya walau apa permukaanpun.
Oleh kerana pendakian melalui jalan berturap, kasut sukan untuk berjogging menjadi pilihan. Kereta diletakkan dibawah jambatan lebuh raya Lekas berdekatan simpang jalan ke puncak. Terpaksa memasang alas dalam kasut dan memasang tali terlebih dahulu. Sudah selesai baru disarungkan. Beg disediakan dengan bekalan air secukupnya.
Gambar agak gelap kerana wx adalah mendung. Menara pemancar di puncak bukit. Dahulu selalu naik bas Foh Hup ke Seremban dari rumah di Batu 10 Cheras. Pasti akan lalu kawasan berbukit ini. Memang nampak dari cermin tingkap bas. Hari ini berkesempatan untuk menjejak kaki ke sana. Maklumlah naik bukit pastilah bas akan tekan minyak dan agak perlahan. Pemandangan sekeliling pasti mengasyikkan.
Sebenarnya terdapat dua kawasan menara pemancar telekomunikasi. Puncak Bukit Gangis yang utama dan satu lagi di bawah sedikit bukitnya. Perjalanan agak curam dan sekali-sekala terdapat kawasan yang agak landai. Kawasan berdekatan jalan utama menjadi sasaran lori membuang sampah ditepi laluan ini. Sikap tidak bertanggungjawab ini amat dikesali. Mencacatkan pemandangan sebalik kehijauan bukit yang berbalam-balam.
Selain itu, banyak kertas-kertas dari kumpulan Hash House Harriers ditinggalkan sepanjang laluan ke puncak. Ini membuktikan laluan ini menjadi pilihan mereka untuk beraktiviti di sini. Ada dua kumpulan kertas ditemui sepanjang jalan. Mereka ini berlari mengikut jejak kertas-kertas yang ditinggalkan ini. Aktiviti ini wujud lebih lama lagi berbanding trailrun yang sangat cukup popular masa kini.
Perbezaan hasher dengan trail runner. Hasher mengikut jejak laluan kertas yang ditinggalkan oleh ketua mereka. Jadi tiada trek yang tetap dilalui seperti pelari denai. Nampaknya hasher lebih mencabar kerana melalui kawasan luar dari kebiasaan. Pelari denai mengikut trek yang sememangnya sudah wujud. Menawan puncak-puncak atau bukit dengan masa yang lebih pantas.
Bagi Hikers atau trekkers pula, kepantasan bukanlah matlamat utama ke sesuatu destinasi. Keindahan dan keistimewaan sesuatu kawasan itu dihargai dan dinikmati. Lihatlah buah yang tergantung ini. Pasti pelari itu tidak menyedarinya kerana matlamat utama mereka sampai ke puncak dengan lebih cepat. Aku berjalan sambil menikmati keindahan persekitaran dengan langkah mengikut kemampuan diri.
Menara semakin jelas kelihatan. Ini membawa maksud puncak yang dicari semakin menghampiri. Hutan bukit yang menghiasi wajah disekeliling sangat menenangkan perasaan. Lebih lagi ada kabus di tengah hari. Sangat menyeronokkan seperti berada di Cameron.
Selepas 36 minit dari bawah jambatan lebuhraya Lekas, tiba dihadapan pintu pagar menara pemancar telekomunikasi. Salakkan anjing menyambut ketibaanku. Memekak sungguh! Lama kelamaan senyap juga bila letih memekak. Berjaya juga mendapat catatan tepat puncak Bukit Gangis 417m dari aras laut.
Struktur bangunan yang terdapat dalam kawasan berpagar. Bahagian atasnya kelihatan antena komunikasi berdiri teguh. Kelihatan seorang pengawal keselamatan yang bertugas di pondok jaga. Bantuan beliau juga menyebabkan anjing-anjing terus senyap. Anak-anak anjing yang remaja lebih memekak disamping ibunya. Memekak betul-betul di hadapan pagar. Akupun malas melayan. Misi utama mencari tanda puncak Bukit Gangis 417m dari aras laut.
Menara pemancar telekomunikasi yang megah berdiri turut boleh dilihat dari bawah tadi. Selepas mengumpul data, meminta kebenaran kepada pengawal tersebut untuk ke tepi pagar. Tanpa banyak masalah pengawal tersebutpun mengizinkannya.
Sebenarnya kesan tiang penanda puncak ada dibelakang bangunan ini. Menyusur tepi pagar dengan berhati-hati. Bergerak sahaja anjingpun menyalak lagi. Lantaklah yang penting misi tercapai. Jumpa besi di hujung pagar. Terdapat plat yang tertulis Bukit Simpang 418m berdekatan serpihan tiang puncak.
Koordinat di hadapan pintu pagar. Kemudian bersih besi itu, dan sesi merakam detik bersejarah dijalankan. Merujuk aplikasi peta topo sememangnya puncak Bukit Gangis berada tepat pada sasarannya.
Tinggal satu sahaja besi beirut di puncak Bukit Gangis 417m. Ada juga bukti peninggalannya sebagai rujukan setelah berjaya menawannnya. Nasib baik tak dimusnahkan bukti kesemuanya. Pasti tercari-cari lokasi puncak sebenar. Beginilah cerita si pemburu penanda puncak dan titik tinggi.
Koordinat puncak Bukit Gangis 417m dari aras laut. Sebenarnya semasa pencarian maklumat puncak ini, terjumpa satu video di youtube.Video memaparkan sekumpulan pendaki mengambil gambar di serpihan tiang ini. Bukti telah berjaya mencari penanda puncak.
Latar belakang bangunan di sebelah belakang. Penjuru pagar inilah lokasi puncak sebenarnya. Kawasan berpagar dan larangan masuk kerana mempunyai kepentingan keselamatan.
Hasil pemerhatian di dalam pagar tidak kelihatan bahagian tiang yang lain bagi melengkapkan empat tiang beirut.
Struktur binaan inilah dipercayai tapak asal beirut berada. Hanya tinggal satu tiang dijumpai diluar pagar. Jika bukan struktur ini dihasilkan. Pasti bukti tiang-tiang yang lain dapat ditemui termasuklah tiang atau batu ukur tinggi yang selalu terletak ditengah atas tanah.
Rekod ketinggian puncak oleh jam Garmin adalah 416m dari aras laut. Turun semeter berbanding dihadapan pagar tadi. Masa beraktiviti telah berlalu selama 52 minit. Jam menunjukkan waktu 1:14 petang. Ada kedengaran azan zohor dari bawah tadi. Memberi laluan terlebih dahulu sebelum turun meneruskan perjalanan ke bawah jambatan.
Stesen 9W2DYA-10 telah merekodkan ketinggian 412m dari aras laut. Pada kali ini perbezaan tidaklah terlalu besar berbanding jam Garmin. Beza hanya 5 meter sahaja menunjukkan gps berfungsi dengan baik.
Sebelah kiri adalah Lebuhraya Lekas dan sebelah kanan adalah jalan turun ke bawah jambatan. Masa turun berlari-lari anak kerana jalan menurun sahaja. Ini membolehkan pergerakan dengan lebih pantas bersama beg disandang. Keadaan jalan yang sendeng mengikut selekoh bukit membuatkan aku berlari turun bahagian paling rendah. Ia bagi mendapat kestabilan serta mengelakkan kecederaan lutut. Permukaan yang tidak rata atau seimbang membolehkan patela mengalami kecederaan.
Aliran anak sungai masuk ke longkang dapat membantu mencari punca air. Bolehlah melepaskan hajat jikalau berlaku kecemasan. Sejuk sungguh airnya turun dari celah-celah bukit. Bukti kawasan hutan merupakan kawasan tadahan yang perlu dipelihara serta dipuliharakan.
Mengalir melalui longkang turun ke bawah. Punca air dapat menyejukkan badan serta membasuh apa yang patut.
Aliran air bukit di longkang bawah jambatan mengalir laju. Kawasan bawah jambatan inilah kereta diletakkan. Hari hujung minggu pasti penuh dengan pelbagai aktiviti ke puncak. Catatan masa keseluruhan untuk aktiviti kali ini adalah sejam 33 minit bersamaan jarak 5.03km. Selamat Mendaki!
73, Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment