Bukit Serdang 179m


 Hari ini berjaya meneroka Bukit Serdang ketinggian 179m dari aras laut. Mula dengan mencari titik yang hampir dengan puncak. Merujuk peta google kolam ikan berhampiran SMK Desa Serdang adalah tempat permulaan yang paling tepat.


Meletakkan jelopi berdekatan dengan perumahan Desa Serdang. Bersiap dengan beg yang mengandungi dua botol air. Setkan aplikasi peta topo untuk menentukan kedudukan puncak dari tempat mula. Jam turut disetkan mode tactical bagi mudah mengenal pasti altitud.


Berjalan ke arah kolam ikan yang dibina di kawasan lembah Bukit Serdang. Air bukit ditakung menjadi kolam ikan amat disukai oleh kaki pancing. Aku meninjau bukit dihadapan kolam yang ada pilon dipuncaknya. Nampak ada kebun tanaman nanas dilereng bukit. Minta kebenaran daripada tuan punya kolam dikaunter untuk naik ke atas. Empunya kolam mengizinkanku naik dengan menggunakan tangga yang disusun dengan tayar.


Pisang turut ditanam pada lereng bukit keliling kolam ikan. Ada juga pokok durian yang berbuah. Tauke itu kata musang king. Semasa mengintai ke pokok, memang terdapat buah durian. Macam tak percaya ada buah durian lagi waktu ini. Sebelum itu, ada melihat tauke membawa beberapa biji durian. Pokok rambutan turut ditanam dilereng bukit itu bersama pokok durian.


Pemandangan dusun buah-buahan dilembah bukit Serdang. Nanas tumbuh subur dilereng bukit. Selepas itu meneruskan pendakian ke puncak yang ada pilon mengikut jejak rentis TNB. Tahap kecerunan yang tinggi tidak mematahkan semangat untuk meneroka Bukit Serdang. Rentis tnb yang sering dibersihkan memudahkan mencari laluan. Kesan jejak pekerja pembersihan digunakan hingga tiba di puncak. 


Tiba di puncak melihat pemandangan sekitar. Ada pilon besar dan tiang elektrik yang tiada talian adalah yang kecil. Melihat-lihat di persekitaran mencari titik tinggi. Kawasan bukit ini dipenuhi resam. Mudah untuk lalu kerana sekitarnya sering dibersihkan.


Kolam ikan dikelilingi atap berbumbung mengelakkan pemancing dari panas dan hujan. Binaannyapun  sudah menyerupai mini stadium membolehkan keluarga lain melihat ikan dinaikkan. Hadapan itu adalah permatang bukit yang menyambung dua puncak.


Pilon dibelakang kolam merupakan bukit di sebelah utara. Kawasan redup dipenuhi pokok di sekitar puncak. Sangat sesuai untuk berehat dengan adanya batang tumbang menjadi tempat duduk. Cuba juga masuk ke kawasan berpokok untuk melihat keluasan puncak.


Pemandangan talian eletrik voltan tinggi menghadap ke Kajang. Cuaca cerah pagi ini membolehkan pemandangan sekeliling dapat dinikmati.


Berada ditiang letrik yang rendah ini merupkan kawasan tertinggi di puncak selatan ini. Sekitar pilon lebih rendah lagi berbanding bawah tiang yang kecil ini. Kini hanya tinggal tiang sahaja. Tiada talian yang merentangi dari satu tiang dengan tiang yang lain.


Pemandangan menghadap puncak utara adalah kawasan Seri Kembangan dan sekitarnya. Ada empat kabel yang dilihat adalah pancang untuk tiang elektrik yang tidak digunakan lagi ini. Gambar terang disebabkan membelakangi cahaya mentari. Berbanding gambar di atas sebelum ini menghadap mentari menyebabkan gelap.


Perkara wajib merakam saat kenangan di puncak selatan. Puncak sebenar di balik bukit itu. Ketinggian yang berjaya direkodkan guna jam garmin adalah 130m dari aras laut.



Batu dibawah pilon turut diabadikan bergambar kenangan. Resam tumbuh memenuhi sekitar  bawah pilon. Sentiasa berada dalam keadaan kemas dan tidak terlalu semak. Bukit Serdang merupakan puncak yang kedua didaki mempunyai pilon setaip puncak. Puncak yang pertama yang mempunyai pilon sebelum ini adalah Bukit Tunggul, Jenderam.


Pemandangan pilon diambil dari bawah. Rentangan talian elektrik bervoltan tinggi mempunyai beberapa tingkat. Langit biru berawan nipis menggambarkan cuaca yang baik pagi ini.


Rekod jam garmin altitud ketinggian 130m dari aras laut bagi puncak selatan. Masa telah dicatatkan 28:46 sejak bermula dari parkir kereta.


Peta topo menunjukkan latitud dan longtitud puncak selatan. 3.012973 darjah Utara dan 101.730642 darjah Timur. Selepas puas menikmati keindahan sekeliling dan mengambil data. Maka, perjalananberpatah balik ke bawah dengan berhati-hati. Kecerunan yang tinggi, memerlukan fokus turut dalam keadaan yang terbaik. Matlamat hendak menawan puncak utara pula.


Merujuk pada kontur Bukit Serdang, terdapat dua bukit yang dipisahkan oleh kolam ikan di bawah. Misi menawan puncak utara di teruskan ke bawah melalui lereng bukit yang dipenuhi pokok nenas. Mencari laluan ke puncak tetapi gagal. Terpaksa turun ke kolam ikan sambil menikmati air 100 campur. Ada jual dikaunter. Bolehlah menghilangkan dahaga badan walaupun stok air ada dalam beg.


Pemandangan puncak Bukit Serdang 179m dapat dilihat dari puncak selatan. Selepas dapat menghilangkan dahaga, pendakian melalui rentis tnb puncak utara mendaki dengan berhati-hati. Pilon sebelah kiri puncak disambungkan dengan permatang.


Pemandangan puncak selatan semasa melalui rentis tnb yang sangat mencabar. Mengikut jejak laluan yang telah dikemaskan dari semak-samun. Penat melalui rintangan pokok-pokok yang ditebas dicampur dengan kecerunan yang tinggi. Pemandangan indah memadamkan rasa penat dan letih seketika.


Pemandangan SMK Desa Serdang turut dapat dilihat dari rentis tnb. Pendakian diteruskan dengan kelihatan untuk melepasi setiap halangan kayu-kayu yang ditebas. Terpaksa mengangkat kaki lebih tinggi bagi melepasinya.


Masjid UPM dilihat dari kejauhan disamping bangunan-bangunan yang tinggi. Sampai di pilon puncak utara dapat melihat pemandangan The Mines dan kawasan sekitarnya.


Turut dilihat pemandangan Seri Kembangan disampiang the Mines. Pilon dipenuhi resam di sekelilingnya. Trek ke puncak ada kesan pada resam menghala ke permatang yang dipenuhi pokok. Melalui permatang hingga menjumpai longkang.


Penghujung longkang mengikut laluan ke hujung yang terang. Pemandangan biasa sewaktu menghampiri puncak dari kawasan hutan. Sampai puncak disajikan kawasan lapang yang dipenuhi resam. Mungkin tapak tangki imbangan atau menara komunikasi.


Pemandangan Kuala Lumpur yang dipenuhi bangunan-bangunan tinggi dari puncak utara. Mencari titik tinggi di puncak ini. Semuanya rata sahaja di puncak ini dipenuhi resam sahaja. Terdapat tompok-tompok tanah yang tidak ditumbuhinya. 


Jam garmin merekodkan altitud ketinggian 135m dari aras laut bagi puncak utara. Catatan masa telah 1jam 30:02 sejak mula beraktiviti dari parkir. Melihat-lihat di sekitar dan pemandangan Balakong dan Cheras.


Kali ini, kedudukan titik gps berada di kontur sebelah utara. Kawasan dataran yang lapang tanpa dapat mengesan kawasan yang agak tinggi sedikit. Perbezaan ketinggian peta topo dengan bacaan gps adalah 44m. Defisit yang amat ketara perbezaannya. Mungkin puncak sebenar turut telah diratakan bagi sesuatu projek di sini.


Terdapat bukit digondolkan di hadapan puncak menghadap arah selatan. Banyak juga burung menghuni di kawasan ini. Terbang dari permukaan tanah setelah melihat kelibatku melalui kawasannya. Aku cuba turun ke sana bagi menikmati pemandangan dengan lebih dekat lagi. Ada trek turun ke bawah. Kesan seperti ada orang sering lepak di sini. Banyak terjumpa tin-tin minuman keras dipercayai pekerja asing di kilang-kilang  kawasan industri di bawah itu. 

Akupun turun ke bukit kawasan gondol melalui trek dicelah-celah resam. Persekitaran Bukit Serdang ini telah diteres dan dikelilingi dengan binaan longkang. Tiada pula jalan kereta hingga ke puncak. Pilon bukit selatan turut dapat dilihat dari sini. Pada hematku ada trek boleh bawa ke puncak selatan. Ada kesan laluan ke sana.


Puas menikmati pemandangan naik semula ke dataran puncak. Merekod semula kedudukan untuk mencari titik stesen trigonometri 179m. Rekod jam garmin ketinggian masih 135m.



Pemandangan puncak utara yang dipenuhi resam. Sangat luas kawasan yang ditarah ini. Kelilingnya di tumbuhi pohon renek. Seterusnya perjalanan turun hala ke puncak selatan. Perancangan ingin ikut trek ke puncak selatan semula. Bolehlah buat satu pusingan meneroka Bukit Serdang.


Pemandangan dataran puncak dari bukit gondol. Perjalanan turun melalui trek ke bawah. Jumpa longkang dan mengikutnya membawa ke kawasan dusun disekeliling kolam. Bukan rezeki semasa mula turun dari puncak selatan tadi untuk melihat kawasan ini. Rupanya boleh sampai ke puncak utara. Memang diatur untuk mendaki ke pilon puncak utara juga. Barulah lengkap sepusingan Bukit Serdang. 


Gambar terakhir sebelum turun ke bawah berdekatan kolam ikan. Pemandangan sebelah Balakong dan Cheras. Sekali lagi membeli air 100 campur bagi menghilangkan dahaga buat kali kedua. Berjalan pulang ke jelopi dengan penuh kepuasan berjaya meneroka Bukit Serdang. Selamat Mendaki!

73, Jojet de 9w2dya

 

No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...