Bukit Kembam 146m dan Bukit Jalil 171m


 Penerokaan ke puncak Bukit Jalil 171m adalah misi utama pada hari  ini. Menyemak titik terhampir puncak ini menunjukkan bukanlah berhampiran trek Bukit Serdang. Bukitnya jauh hala ke utara. Berpusing -pusing di Taman Bukit Serdang dan Seri Kembangan untuk mendapat titik terhampir serta akses yang sesuai.


Akhirnya bukit di belakang tangki takungan air yang baru siap dibina menjadi tempat permulaan pencarian. Sebenarnya sudah tiba disini terlebih dahulu semasa menentukan lokasi permulaan Bukit Serdang. Datang kembali meletakkan kereta ditempat yang selamat berhampiran jalan masuk tangki takungan air.


Bersiap seperti biasa dan berjalan ke kawasan tangki takungan air yang masih belum berpagar dari jalan besar. Memanjat ke atas melalui longkang hingga ke atas kurang 10 minit. Jam Garmin merekodkan altitud ketinggian 144m di atas bukit itu. Meninjau dan menyemak aplikasi peta topo kedudukan Bukit Jalil. Masih jauh puncaknya dari kedudukan terkini. 


Hasil semakan pada peta google terdapat sebuah tasik yang diberi nama Tasik Bukit Kembam. Kedudukannya adalah di kaki bukit yang didaki ini. Maka, Bukit Kembam adalah nama yang digunakan bagi penulisan ini. Rumput yang hijau itu baru ditanam menutupi kawasan di puncak bukit kawasan tangki.


Selepas meninjau sekeliling didapati ada trek. Akupun menyusur lalu trek arah ke utara. Bukit Kembam turut didapati kesan ditarah kawasan puncaknya. Sampai dilereng batu didapati memang terdapat sebuah bukit lagi yang lebih tinggi dari Bukit Kembam. Tak salah lagi itulah puncak Bukit Jalil.


Pemandangan batu tunggul akibat tarahan puncak bukit. Tinggal batu keras membentuk batu tongkol yang akhirnya hancur akibat proses luluhawa. Tanah semakin tidak subur menyebabkan pokok sukar untuk tumbuh meliar. Seolah manjadi tanah tandus. Namun resam tetap mengambil tempat bagi menghijaukan bukit. Ia juga dapat mengurangkan kejadian hakisan dan seterusnya dapat mengelakkan kejadian tanah runtuh.


Kawasan Bukit Kemban yang rata serta jarang di tumbuhi pokok. Tidak pasti mengapa bukit ini digondol serta diratakan. Tiada tanda untuk pembangunan dapat dilihat. Masih terdapat burung-burung menghuni di puncak bukit. Buktinya kedengaran bunyi-bunyian burung bersahut-sahutan.


Pokok-pokok tumbuh meliar dapat kembali menghijaukan kawasan sekitar. Habitat kepada serangga dan unggas. Tumbuh meninggi dan berkelompok yang bertaburan. Akhirnya bersatu menjadi padat dan kekalkan menghijau dikawasan puncak ini. Perjalanan yang jauh memakan masa yang lama. Namun pemeliharaan dan pemuliharaan flora dan fauna ini penting bagi mengekalkan kestabilan struktur pasak bumi ini.


Catatan jam Garmin altitud ketinggian 138m dari aras laut berdekatan tebing tinggi. Masa telah berlalu dalam 19 minit sejak  bergerak dari bawah.


Stesen 9W2DYA-10 mencatatkan altitud ketinggian 124m dari aras laut. Perbezaan masih ketara antara gps jam Garmin dan tab lenovo untuk Aprsdroid. Kawasan sebelah kanan adalah Taman Bukit Serdang.

Peta topo menunjukkan kedudukan antara Bukit Kembam dan Bukit Jalil. Nampak hampir dekat, tapi sebenarnya memang jauh. Tak tecapai akalmu. Ia dipisahkan oleh Lebuhraya Maju.


Pemandangan Bukit Jalil 171m dari Bukit Kembam. Bukit ditarah bagi laluan pembinaan lebuhraya dan kawasan perumahan. 


Pokok bunga yang sering menghiasi pemandangan di puncak bukit. Pokok resam yang mengelilinginya turut mewarnai pemandangan biasa di kawasan puncak bukit. Nasib baik ada trek untuk dilalui, jikalau tidak operasi menebas terpaksa dilancarkan. 


Senduduk turut menarik perhatian tumbuh meliar di puncak ini. Melastoma nama saintifiknya turut mengeluarkan buah yang boleh dimakan. Pasti kenyang juga bagi menambah tenaga selepas penat mendaki. Teringat masa kecil selalu petik dan makan buahnya. Lidah kebiruan setelah menelannya.


Trek yang terang menunjukkan sentiasa ada orang yang sering datang atau melaluinya. Tak perlulah keluarkan parang untuk kerja-kerja menebas pokok resam. Kemudian mencari titik tinggi di Bukit Kembam ini.


Pemandangan tangki takungan air Taman Bukit Serdang yang baru siap dibina. Masih belum beroperasi sepenuhnya. Tangki ini juga seperti di Bukit Jugra ketika menawan puncak beberapa minggu yang lalu.

Puncak tertinggi Bukit Kembam direkodkan oleh jam Garmin altitud ketinggian 146m dari aras laut. Lebih setengah jam aktiviti penerokaan telah berlangsung. Masa mencatatkan pukul 10.41 pagi. Cuaca cerah pada pagi ini dapat memberi peluang meneruskan aktiviti tanpa halangan.


Pokok-pokok renek dari titik tinggi Bukit Kembam memenuhi keseluruhan puncak. Tumbuh meliar menjadi habitat kepada burung dan unggas kecil.


Setelah merekodkan titik tinggi, perjalanan turun melalui longkang semula. Perlu berhati-hati disebabkan kecerunan agak tinggi. Tiba di jelopi hentikan mode tactical. Catatan masa yang diambil untuk aktiviti Bukit Kembam adalah 42 minit dengan jarak 1.77km.


Destinasi seterusnya adalah Taman Puncak Jalil. Memandu  melalui Lebuhraya Bukit Jalil sebelum belok ke kiri masuk Persiaran Puncak Jalil. Singgah Petron untuk panggilan alam dan membeli sedikit bekal. Sambil itu, turut memeriksa lokasi terkini di aprs dan peta topo. Rupanya puncak Bukit Jalil dekat dengan Puncak Jalil 9 sahaja.


Meletak kereta di tepi  berdekatan simpang jalan bertentangan dengan rumah berkembar. Ada kerja-kerja paip air namun jalan masih boleh dilalui. Permulaan trek bersebelahan dengan rumah tnb.
Ada ikatan kayu ditepi laluan itu disandarkan. Kelihatan trek macam selalu digunakan. Petanda bahawa trek ini membawa terus ke puncak bukit.


Trek sangat terang dan mudah dilalui tanpa ada perasaan bimbang. Merupakan bekas laluan kenderaan ke puncak suatu masa dahulu. Jalannya landai sahaja hingga sampai ke kawasan pemandangan.


Kelihatan stesen minyak Petron turut dapat dilihat dari sini. Keseluruhan perumahan Puncak jalil menunjukkan kepadatan penduduk di sini.


Puas menikmati pemandangan melalui jalan yang dipenuhi resam kiri dan kanan. Masih lagi agak landai hingga berjumpa pondok dengan peralatan perkhemahan. Pelbagai jenis peralatan seperti periuk,kuali dan pelbagai bekas tergantung rapi. Kemungkinan aktiviti perkhemahan sering diadakan di sini. Jauh di tepi sana ada tertulis WC di sebalik kanvas.


Perjalanan diteruskan ke hadapan lagi hingga jumpa trek mendaki ke atas disebelah kanan. Masih menyajikan pemandangan padang jarak padang terkukur. Tanah tandus akibat ditarah menjadi beberapa teres.


Pemandangan ibukota turut dapat dinikmati menghadap arah utara. Cuaca yang baik membolehkan keseluruhan pemandangan dapat dinikmati. Kaki terus melangkah mengikut jejak.


Setiap teres terpaksa mendaki dengan berhati kerana batu-batu rapuh boleh tergelicir ke bawah. Ikut kesan jejak yang jelas kelihatan di atas tanah. Teres sebelum puncak terdapat pangkin untuk berehat. Ada sebuah kerusi menghadap ke pemandangan ibukota.
Tiba-tiba terpandang satu kelibat bergerak-gerak. Rupanya ada seekor babi turut menyedari kehadiranku. Nampak sahaja aku terus bergerak ke arah lain di hujung sana. Nasib baik tak datang ke arah ku. Mana hendak lari. Pokokpun bukanlah tinggi sangat boleh dipanjat.


Mungkin boleh lari lintang-pukang menggunakan tangga ini hingga teres yang terakhir. Teres yang terakhir letaknya titik tinggi Bukit Jalil 171m. 



Pemandangan lebuhraya Maju menghadap Puncak Jalil 9. Banyak tempat yang boleh melihat pemandangan terutama teres yang tertinggi ini.


Pemandangan sekitar Puncak Jalil hingga ke Taman Equine. Memang seronok dapat melihat pemandangan daripada pelbagai sudut. Fikiranpun menjadi lebih luas. Jauh perjalanan luas pandangan.


Pemandangan berhampiran lebuhraya Maju di bawah. Manakala Taman Bukit Serdang turut dapat dilihat. Nun hujung di sana merupakan Bukit Sungai Besi.


Bukit dipotong berteres-teres bagi memberi laluan kepada pembinaan lebuhraya. Resam tanaman tutup bumi bagi mengelakkan dari berlaku kejadian tanah runtuh.


Bukit Jalil turut ditereskan. Batu-batu rapuh terdapat pada permukaan bukit ini. Jalur lebuhraya hala ke selatan. Turut kelihatan bukit Serdang yang berjaya didaki pada semalam hari.


Pemandangan Bukit Kembam 146m yang lebih jelas. Pandangan dari sudut yang berbeza memberi perspektif menjadi lebih luas dan lapang. Keyakinan diri dengan sesuatu dapat membawa ke arah kejayaan. Sebab itulah perlu berani mencuba agar dapat jawapan yang tepat agar tidak dikecewakan. Bukan sekadar mencari titik tinggi sahaja. Tetapi turut mengajar jangan cepat putus asa bagi mencapai satu matlamat.


Atas batu keras puncak yang ditinggalkan. Ada juga bukti kawasan paling tinggi. Sama kesnya dengan puncak Bukit Sapu Tangga.


Bukti titik paling tinggi yang ditinggalkan daripada kerja-kerja menarah puncak bukit. Hanya tinggal batuan keras dibiarkan begitu sahaja. Namum masih kelihatan tumbuhan dapat hidup dengan baik.


Catatan jam Garmin altitud ketinggian 157m titik tertinggi puncak Bukit Jalil. Aktiviti telah berlangsung hampir setengah jam. Waktu menunjukkan pukul 12.16 tengah hari. Seterus perjalanan turun berhati-hati memandangkan kelibat babi kelihatan semasa naik. Cari dahan kayu untuk perlindungan. Berjalan turun mengikut laluan yang sama. Jarak 2.87km dengan catatan masa 56:06 bagi pendakian kali ini.

Berpotensi menjadi tempat riadah kerana puncak yang luas boleh membuat pelbagai aktiviti. Trek yang agak landai memudahkan pendakian. Banyak laluan boleh dipilih serta menyajikan pemandangan pelbagai sudut. 

73, Jojet de 9w2dya



No comments:

Post a Comment

Batu Tanda Sempadan Negeri WP Putrajaya/Selangor No. 1/72

 Selepas gagal mencari belon KLIA malam tadi. Operasi mencari batu tanda aras dilancarkan pula. Pencarian sekitar Persiaran Selatan dan Pers...