Belon KLIA WxR-301D2302104516 hilang isyarat


 Malam tadi selepas terawih telah pergi ke lokasi belon KLIA jatuh  di hujung Persiaran Selatan. Tiba di lokasi tidak kedengaran sebarang isyarat. Maka, susahlah bagi kami untuk mendapatkan koordinat baru. Mencari bersama Arul 9W2OCX telah bersedia bersama vanfire bagi mencerap isyarat radiosonde. Namun, semakin menghampiri titik akhir masih tidak kedengaran sebarang isyarat melalui corong hand-held.


Titik ketinggian akhir agak tinggi iaitu altitud 799m dan ketinggian maksimum 18,562m. Kami cuba mengambil koordinat jangkaan mendarat iaitu 2.89413 darjah Utara dan 101.65626 darjah Timur. Masih tidak jumpa juga di kawasan persekitaran tersebut.

Pagi tadi, menyambung pencarian secara solo. Mungkin siang penglihatan lebih jelas berbanding malam tadi. Mula pencarian di persekitaran titik akhir ternyata tidak ada sebarang tanda. Kemudian ke titik jangkaan oleh laman sesawang SondeHub juga tidak menemui sebarang tanda.


Bergerak hingga ke jarak 481m juga tidak menjumpai sebarang bukti belon boleh ditemui. Persekitaran agak lapang dan mudah dilalui kerana kawasan susur keluar ke Lebuhraya Maju  sedang dalam pembinaan.


Susur masuk lebuhraya Maju dari Dengkil. Kawasan ini kiraan jarak 481m telah dicari. Lapang dan mudah dilihat jika belon jatuh di atas jalan. Kebiasaannya jikalau isyarat radiosonde hilang kemungkinan ia terhentak kuat ataupun diambil orang.


Pemandangan susur masuk dari Dengkil. Penghujung pencarian hingga setakat kawasan ini. Mustahil terlepas hingga ke atas jalan tersebut. Pasti boleh dilihat sisa-sisa peninggalan jika digelek kenderaan. Ada kes setelah dilanggar isyarat radiosonde hilang. Namun, ada peninggalan benang atau belon dapat diketahui ia telah jatuh di situ walaupun radiosonde tidak ditemui.


Jalan sebelah kanan merupakan susur keluar dari Persiaran Selatan Putrajaya. Meninjau kawasan persekitaran dengan penglihatan tajam. Tepi -tepi longkang dan kawasan lapang pasti menjadi sasaran.


Kawasan lapang bersemak-samun ini merupakan kawasan jangkaan belon mendarat. Puas masuk persekitaran sini masih tidak dijumpai juga. Meninjau pada pokok-pokok tiada pula benang tergantung. Pada malam tadi, tiada angin dapat dikesan. Kemungkinan bergerak jauh ke depan pasti tidak berlaku. Angin mati menambah kehangatan malam.


Kawasan semak yang dipenuhi Senduduk juga telah dicari dengan penuh perhatian. Tiada juga kelihatan benang terbentang di sana-sini. Maka, berakhirlah pencarian setelah panas terik mentari semakin terasa. Misi berakhir dan tidak perlu diteruskan memandangkan hati sudah puas mencarinya.

Salam Nuzul Al-Quran

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...