Tengah hari ini Met Sepang melepaskan belon ozon 1032305049. Jatuh pada 14:59:37 bertarikh 8 Mac 2024 di Pulau Carey. Koordinat 2.87232 darjah Utara dan 101.3307 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 733m agak tinggi dan ketinggian maksimum adalah 36,735m.
Selepas solat Jumaat terlihat belon ozon jatuh di Pulau Carey. Memandu dari Bandar Tun Hussein Onn, Cheras kerana pagi tadi saltmine pendaftaran murid baru tingkatan satu. Terus melalui SKVE keluar ke Telok Panglima Garang. Belok kanan terus ke bulatan. Masuk kiri hingga jumpa simpang empat lampu isyarat. Melepasi jambatan Pulau Carey. WX mula hujan rintik.
Berhadapan Kilang Minyak Kelapa Sawit berhenti di bahu jalan untuk memeriksa batu tanda aras. Stesen tanda aras ini yang terlepas pada hari ahad lalu bersama harmonic. Boleh dilihat plate telah dikopek. Penulis cuba hendak mengepakkan kembali bentuk asal. Rupanya plate ini sangat keras dan tebal. Tidak boleh menggunakan tangan begitu sahaja tanpa bantuan peralatan yang sesuai.
Percubaan untuk mengopek plate. Satu aktiviti musnah laku yang perlu dielakkan. BM#159 depan kilang minyak kelapa sawit Sime Darby Pulau Carey. Stesen tanda aras B 63060 koordinat adalah 2.881838 darjah Utara dan 101.435258 darjah Timur.
Seterusnya di hadapan sebelah kanan jalan pula terdapat satu lagi batu tanda aras. Berhenti jelopi di bahu jalan. Kemudian melintas jalan. Hujan mula menitik tidak menjadi halangan untuk proses dokumentasi.
Stesen tanda aras di bahu jalan yang berumput. BM#160 sebelum kilang stesen tanda aras B 00181 yang lama(W 02050). Koordinat adalah 2.872647 darajh Utara dan 101.424854 darjah Timur.
Selesai dokumentasi terus ke pintu masuk utama ladang Sime Darby yang terdapat sebuah mesin ATM. Meletak jelopi di sebelah mesin tersebut menanti Arul 9W2OCX tiba dari Puchong. Sementara menanti ketibaannya sempat mengkaji laluan masuk untuk ke kawasan pendaratan belon ozon tersebut.
Setelah Arul 9W2OCX tiba bersama vanfire nya, barulah mendaftar diri di Pondok Pengawal Polis Bantuan. Terus berjalan arah ke Muzium dan kelab golf. Jumpa simpang terus berpatah ke seksyen 4 masuk sebelah kuil . Kemudian jumpa kedai makan dan ikuti kawasan perumahan pekerja hingga melepasi jejambat SKVE.
BM#161 stesen tanda aras B 63081yang lama (B 63074) berdekatan dengan simpang. Rumput di bahu jalan seperti baru sahaja dimesin. Koordinat adalah 2.892643 darjah Utara dan 101.361255 darjah Timur.
Menggunakan google map tiba dilokasi berhampiran belon ozon jatuh. Arul 9W2OCX meletakkan sahaja vanfire di atas laluan sawit. Berpandukan koordinat titik akhir, kami terus menuju menggunakan GPS Waypoint Finder. Melintas dua kali parit hinggakan selipar Arul 9W2OCX tersangkut. Itupun berlaku selepas titik akhir berjaya ditemui namun tiada belon. Maka, kami perluaskan jarak pencarian memandangkan altitud ketinggian terakhir adalah 733m. Angka yang sangat tinggi!
Rakaman video menunjukan isyarat radiosonde 1032305049 masih lagi aktif. Ini membuktikan bahawa belon ozon sememangnya telah jatuh dikawasan sekitar. Peranti raspi Arul 9W2OCX gagal mencerap koordinat belon ozon yang terkini. Jadi, kami mencari lokasi agar peranti tersebut berjaya menunjukkan koordinat terkini. Hampir sejam lebih masih tidak dapat mencerap dan jumpa. Kami mengambil keputusan berpatah balik ke vanfire Arul.
Sampai di vanfire Arul 9W2OCX menyambung peranti raspi ke antena mobile van tersebut. Arul 9W2OCX berpatah balik ke laluan yang terhampir dengan titik akhir tadi. Alhamdulillah pada kali ini peranti raspi berjaya mencerap koordinat terkini belon ozon tersebut. Apa lagi! setelah memasukkan koordinat baharu pada GPS Waypoint finder terus menuju lokasi sebenar belon jatuh.
Kali ini melintas satu parit sahaja. Belon tergantung dari pelepah pokok kelapa sawit. Pusing keliling tidak ditemui peranti radiosonde dan kotak polisterina ozonsonde. Peliknya kami dengar bunyi pam ozonsonde. Setelah diamati di atas pokok, ternyata bahawa payload tersebut tersangkut dicelah pelepah atas pokok. Lampu LED merah radiosonde seperti biasa berkelip-kelip. Sahlah! memang tersangkut celah pokok.
Bahagian atas pelepah sawit ini, payload terselit. Apabila menarik tali rafiar tidak ada apa-apa tindak balas. Maka tersekat di situ, kami tidak boleh buat apa-apa. Hendak panjat rapuh, hendak jolok tiada galah. Hendak minta bantuan tiada pekerja.
Belon ozon lebih besar berbanding belon radiosonde. Apapun kami berpuas hati dan bersyukur akhirnya berjaya juga menemui. Cuma tidak berjaya membawa pulang sahaja.
Koordinat belon ozon yang ditemui. Jarak dari titik akhir adalah 375m. Hari semakin lewat, memaksa keluar dengan kadar segera. Sifat tidak pernah putus asa akhirnya berjaya mendapat koordinat baru. Namun gagal membawa pulang kerana payload berada di atas pokok. Peralatan yang sesuai untuk membawa turun tiada. Maka, tinggalkan sahaja. Mungkin rakan SAR yang lain akan datang mengambil dengan membawa peralatan yang sesuai.
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment