Perjalanan selama lima hari bermula 15 Februari 2024 hingga 19 Februari 2024. Perjalanan sambil bercuti ini turut berjaya menjumpai 10 batu penanda km 0. Turut menambah 3 koleksi negeri stesen tanda aras.
Negeri Pahang abjad 'C' berjaya mendapat 29 stesen. Negeri Kelantan abjad 'D' berjaya mendapat 6 stesen. Seterusnya negeri Terengganu abjad 'T' turut berjaya mendapat 4 stesen. Manakala, Negeri Sembilan abjad 'N' berjaya menambah lagi 12 stesen. Jarak perjalanan menggunakan jelopi memilih laluan tanpa tol sejauh 1483km.
Hari pertama 15 Februari 2024 perjalanan agak lewat. Jelopi masuk bengkel untuk diservis terlebih dahulu. Memandangkan perjalanan jauh, jelopi haruslah berada dalam keadaan yang baik. Beberapa komponen telah ditukar ganti seperti bateri, dua biji tayar, timing belt dan lain-lain lagi. Hampir jam 1 tengah hari barulah jelopi bersedia untuk meneruskan pengembaraan.
Perjalanan dari Bangi melalui Lenggeng ke Kuala Klawang. Sampai Kuala Klawang berhenti makan tengah hari dahulu. Kemudian terus hala ke Karak. Tiba di simpang Gelemi terlihat satu stesen tanda aras. BM#81 nombor stesen N 5293 dengan koordinat 2.965562 darjah Utara dan 102.119606 darjah Timur.
Stesen pertama abjad 'C' selepas melepasi negeri Pahang adalah nombor stesen C 6073. BM#82 koordinat 3.240570 darjah Utara dan 102.141068 darjah Timur. Stesen C 6073 ditemui simpang tiga Chemomoi. Tiba di Karak singgah di Masjid Jamek Karak untuk menunaikan solat terlebih dahulu.
Pemandangan hala dari Negeri Sembilan BM#82 nombor stesen C 6073. Usai solat terus perjalanan melalui Mempaga dan keluar ke jalan nombor FT8 di Kampung Asap. Belok ke kanan menghala ke Raub tidak melalui Bentong.
Penanda km 0 Raub ini berada di sebelah Masjid Tengku Abu Bakar laluan nombor C5. Seterusnya perjalanan ke Kampung Gali untuk berehat menikmati mee goreng basah terlebih dahulu. Sebenarnya nampak batu tanda aras hadapan kedai makan tersebut.
Sambil menunggu pesanan bolehlah membuat dokumentasi seperti biasa. Tidaklah nampak sangat sibuk bergambar nanti orang lihat pelik perbuatan itu.
BM#83 nombor stesen C 5068 pemandangan dari Raub. Betul-betul berada berhampiran kedai makan. Alang-alang dah sampai terus pesan makanan dan menikmati secangkir kopi. Mengantukpun hilang perutpun kenyang. Koordinat adalah 3.858883 darjah Utara dan 101.893627 darjah Timur.
Usai mengalas perut dan menghilangkan mengantuk, perjalanan diteruskan ke Kuala Lipis. Terus mencari batu penanda km 0 di Pejabat Pos Kuala Lipis.
Meletak jelopi di tepi jalan tersebut. Ada kerja-kerja mengindahkan lagi berdekatan Pejabat Pos tersebut. Monumen angka kosong mengindahkan lagi persekitaran. Satu monumen angka kosong yang lebih kecil turut berada di hadapan Pejabat Pos.
Batu penanda km 0 Kuala Lipis lebih mencuri tumpuan di tepi Pejabat Pos tersebut. Pusat permulaan kiraan jarak jalan raya ke bandar-bandar lain di negeri Pahang suatu masa dahulu.
Penulis tidak melepaskan peluang untuk berswafoto batu penanda km 0 ini. Batu penanda yang kedua untuk hari pertama perjalanan.
Terdapat satu papan kenyataan di sebelah batu penanda km 0 Kuala Lipis ini. Papan informasi Batu 0. Batu penanda sifar ini didirikan di Bandar Kuala Lipis ketika bandar ini menjadi ibu negeri Pahang yang pertama (1898 - 1955). Batu penanda merupakan titik permulaan sukatan jarak jalan raya dari Kuala Lipis ke daerah-daerah lain di negeri Pahang. Berdasar maklumat di atas ternyatalah batu penanda ini merupakan ukuran 0 Batu.
Lagi satu tarikan baru di sini adalah papan arah negeri-negeri berdekatan. Jarak-jarak dari Kuala Lipis ke negeri-negeri yang tertera. Contohnya Melaka 308km, Kedah 449km, Kelantan 283km, Perak 220km, Selangor 176km dan Kuantan 242km.
Kemudian mencari penginapan di Bandar Baru terlihat sebuah hotel tersergam indah. Hotel Star-Well menjadi pilihan penginapan bagi hari pertama. Bayaran RM132 amat berbaloi dengan kemudahan yang selesa termasuk sarapan.
Rakaman video suasana bilik yang ditempah dengan pemandangan hutan dan kolam. Pasti boleh tidur lena setelah memandu separuh hari dari Bangi. Sebelah malam mencari makan di kedai-kedai makan di bandar lama ini. Suasana aman dan tenteram tidak sesak seperti di lembah Klang.
Selamat memburu!
73, Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment