Pada hari Tahun Baharu Cina pertama bertarikh 10 Februari 2024 berjaya melancarkan misi pemburuan batu tanda aras di Kuala Lumpur. Sasaran utama di tengah bandaraya Kuala Lumpur ini.
Memandu dari base di Bangi terus ke Bangunan Bank Rakyat. Meletak kereta disebelah bangunan itu. Batu tanda aras ada berhampiran bangunan tersebut. Hanya berjalan kaki untuk operasi seterusnya.
Melintas Jalan Parlimen untuk ke tepi pagar Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah. BM#67 nombor stesen W 61107 berada ditepi padang sekolah tersebut. Menghampiri kawasan padang yang berpagar batu dan juga bahu jalan yang telah bersimen.
Mustahil hendak jumpa memandangkan bahu jalan telahpun bertembok dan bersimen. Namun, haruslah melihat keadaan terlebih dahulu sebelum merasa putus asa. Hakikatnya masih ada ruang tanah yang asal belum lagi disentuh. Ruang antara kedua tembok telah memberi ruang pada keadaan tanah yang asal. Ternyata batu tanda aras itu berada di tepi pagar padang sekolah tersebut.
Melihat pada keadaan plate yang telah kotor pada permukaan akibat terlindung dari sinaran mentari. Nombor plate lama dipotong-potong. Tidak perasaan ada satu siri nombor di sebelah kanan tengah. Jadi tak sempat nak gosok-gosok dipermukaan nombor yang baru itu.
Keadaan batu tanda aras di antara dua buah tembok bahu jalan dan tembok padang sekolah. Tanah asal yang masih tinggal tidak diusik menjadi saksi peradaban yang semakin moden. Terpaksa memanjat tembok bahu jalan untuk mendapatkan batu tersebut.
Plate yang paling kotor sekali permukaan yang pernah dijumpai. Lumut-lumut mati menyebabkan plate aluminium ini menjadi sangat kotor tetapi bukanlah karat besi.
Tanah sekangkang kera yang ditinggalkan bukti ketinggian aras tanah yang asal setelah pembangunan Jalan Parlimen masa kini. Mudah untuk keluar kawasan tanah ini kerana berhampiran dengan laluan bawah tanah di Bulatan Dato' Onn
Pemandangan dari atas BM#67 nombor stesen W 61107 berdasarkan laman sesawang Jupem bagi lokasi di sini. Koordinat adalah 3.150878 darjah Utara dan 101.692131 darjah Timur.
Seterusnya mencari batu tanda aras di antara bangunan Bank Negara dan bangunan DBKL. Melintas Jalan Kinabalu melalui pejalan kaki di bawah bulatan Dato' Onn. Keluar ke sebelah Sungai Gombak ada arca dan hiasan tanaman. Melilau cari di kawasan tanaman tersebut tetapi tidak jumpa. Selak-selak juga pokok-pokok hiasan tersebut.
Mundar-mandir di tengah ibu kota ini perlu berhati-hati. Takut dikhuatiri melakukan kerja-kerja yang dilarang. Maklumlah anda diperhatikan oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di merata-rata tempat. Oleh itu, bergerak ke hadapan sikit untuk mencari lagi. Ada pekerja pembersihan sibuk menyapu di tepi jalan. Cuba menanyakan jika tahu tentang batu tanda aras. Baru sahaja nak tanya dia jawab tidak tahu. Kemudian ternampak batu tanda aras di sebelah jalan bangunan Bank Negara rupanya.
Apa lagi! terus melintas dan dapatkan batu. Merujuk laman sesawang Jupem nombor siri dan lokasi adalah tidak sama seperti apa yang ditemui. Apapun yang penting sudah berjaya menambah batu tanda aras yang bermula dengan abjad 'W'. BM#68 nombor stesen W 0112 di tepi Jalan Kinabalu sebelah bangunan Bank Negara.
BM#68 nombor stesen W 0112 di tepi Jalan Kinabalu. Koordinat 3.154153 darjah Utara dan 101.693428 darjah Timur. Kemudian melintas di bawah jejambat terus ke bangunan Sultan Abdul Samad.
Laluan di tepi bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka ditutup kepada semua kenderaan. Pagi itu, ramai pelancong bergambar di bangunan ikonik Kuala Lumpur.
Menara jam bangunan Sultan Abdul Samad merupakan permulaan kiraan bagi jarak Batu. Permulaan bagi jarak batu dan kilometer sejak zaman dahulu lagi. Kini ada batu penanda jalan KM 0 di sebelah Dataran Merdeka.
Pemandangan bangunan Sultan Abdul Samad ini diambil dari jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Masjid Jamek. Dahulu kenderaan boleh melalui jalan di belakang bangunan ini. Kini laluan dibuka untuk pejalan kaki sahaja. Sungai Klang di belakang bangunan ini turut diperindahkan.
Pemandangan Sungai Gombak hingga pertemuan Sungai Klang di belakang Bangunan Sultan Abdul Samad. Renjisan air di tebingan mengindahkan serta menyamankan lagi mata memandang.
Jambatan Sungai Gombak di Jalan Raja ini sebenarnya ada batu tanda aras merujuk kepada laman sesawang Jupem. Jenuh mencari dan pusing empat penjuru jambatan ini namun tidak dijumpai juga.
Penanda jalan kilometer 0 Kuala Lumpur antara monumen menjadi buruan lensa kamera. Apatah lagi bagi pemburu batu penanda KM 0 menjadi destinasi wajib bergambar untuk menambah koleksi yang ada.
Penulis sendiri tidak melepaskan peluang bergambar bersama batu penanda jarak km 0 Kuala Lumpur. Lahir di Hospital Bersalin Kuala Lumpur seharus wajib bergambar di monumen ini. Sejak umur 15 tahun kerap ke Dataran Merdeka ini kerana acara larian sering bermula dan tamat di sini. Ketika itu, batu penanda jarak ini masih belum wujud lagi.
Pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang inilah Kuala Lumpur mendapat namanya. Pihak kerajaan telah berjaya menjadikan tempat disekitarnya sebagai tarikan pelancong terutamanya yang ingin tahu tentang sejarahnya.
Menara Jam bangunan Sultan Abdul Samad yang diambil dari belakang. Hadapan menara inilah garisan permulaan larian diwujudkan. Pelari-pelari berbaris memenuhi Jalan Raja memecut selepas tembakan pistol kedengaran. Kenangan sungguh! tidak dapat dilupakan.
Kemudian menghala ke Hulu Langat. Memantau batu dari Pekan Batu 9 Cheras hingga ke Pekan Batu 14 Hulu Langat. Hanya berjaya menemui satu batu tanda aras di Klinik Kesihatan Batu 14 Hulu Langat sahaja.
BM#69 nombor stesen B 0514 di hadapan Klinik Kesihatan Batu 14 Hulu Langat. Berada di hadapan papan tanda dan pintu pagar masuk klinik. Sudah dijangka pasti di Klinik KKM ada batu tanda aras.
Pemandangan mengarah ke Pekan Batu 14. Kenderaan sesak memandang cuti umum orang ramai bercuti di tempat menarik sekitar Hulu Langat. nasib baik Polis Trafik berjaya mengawal lalulintas dengan pantas. Koordinat nombor stesen B 0514 adalah 3.111161 darjah Utara dan 101.814689 darjah Timur.
Seterusnya menghala ke Ampang. Mencari lagi sepanjang jalan Pekan Batu 14 Hulu Langat hingga ke simpang Taman Tasek. Belok kiri menghala ke Cheras Baru pula. Tiba di simpang Bukit Permai Utama kelihatan batu tanda aras di tepi simpang.
Batu tanda aras di tepi longkang dan bahu jalan yang berumput. Sememangnya mudah dilihat dan terus meletakkan kereta di hadapan sedikit dekat kedai Pok Nik Nasi Kukus Ayam Kampung. Koordinat BM#70 adalah 3.110386 darjah Utara dan 101.753465 darjah Timur.
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment