Stesen tanda aras pertama Putrajaya berjaya ditemui


 Semalam buat pertama kalinya berjaya menemui stesen tanda aras di Putrajaya. Tapi, sebelum itu berjaya menemui BM#58 di jalan Sg Merab - Teras Jernang. Nombor stesen B 62019 di hadapan sebuah rumah di atas puncak bukit jalan tersebut. Jikalau hendak tahu ketinggian sebenar boleh buat tempahan melalui laman sesawang JUPEM yang berharga RM5 sahaja.


BM#58 bernombor stesen B 62019 kelihatan batu aras ini diliputi lumut. Tidak hairanlah kerana lokasinya benar-benar di atas puncak bukit. Setakat ini,batu tanda aras ini berkedudukan paling tinggi pernah dijumpai di puncak bukit.


Pemandangan dari arah Teras Jernang. Walaupun selalu melalui laluan ini, tidak pernah terlintaspun mata untuk  memandangnya. Berpandukan laman sesawang JUPEM barulah pergi untuk mencarinya.


Jelopi diletakkan di tepi jalan yang selamat. Berpatah balik ke batu dalam beberapa langkah sahaja. Pemandangan turun bukit arah ke Sungai Merab. Koordinat yang dicerap adalah 2.932649 darjah Utara dan 101.747285 darjah Timur.


Misi kedua ke Ladang West Country melalui keluar Sg Merab. Mudah ke sini sebab arah ke Beriani Gam Putrajaya sebelah SKVE sahaja. Kenderaan sibuk lalu lalang di awal pagi untuk ke tempat kerja.


BM#59 nombor stesen B 62051 di hadapan jalan masuk Beriani Gam Putrajaya sebelah SKVE. Koordinat yang direkodkan 2.964076 darjah Utara dan 101.733649 darjah Timur.


Kedudukan batu tanda aras nombor stesen B 62051 mudah dicari. Berpandukan jalan masuk ke Beriani Gam Putrajaya pasti dapat menemuinya. Terletak di antara jalan lama dan SKVE bersebelahan pembahagi jalan sahaja.


Pemandangan dari arah Sungai Merab/Bangi. Jelopi diletakkan di tepi jalan yang selamat. Berjalan kaki ke hadapan sedikit untuk ke batu tanda aras. Rumput di bahu yang sentiasa diselenggara memudahkan ia dilihat.



Kemudian mencari batu tanda aras ke Putrajaya pula. Masuk Persiaran Utara menuju ke Persiaran Timur selekoh masuk terdapat satu batu tanda aras. Sayangnya tiada tempat yang selamat untuk meletakkan jelopi. Batu ini disimpan dan senarai pendek terlebih dahulu. Ada kelapangan hujung minggu yang tiada kesesakan kenderaan boleh dicuba pergi melihat nombor stesen tersebut.


Kemudian masuk ke Lebuh Perdana Timur untuk menghala ke arah bulatan terbesar di dunia. Terdapat empat batu tanda aras di sekeliling bulatan ini namun tidak satupun perasan.


Keluar ke Persiaran Persekutuan untuk ke arah Wetland Putrajaya. Masuk Wetland melalui terowong untuk ke jalan sebelah pula. Meletakkan jelopi di kawasan tempat letak kereta di situ dekat Bamboo Garden. Berjalan kaki ke arah pintu masuk Wetland bagi mencari BM#60 nombor stesen B 2037.


Tiba di hadapan bertentangan dengan pintu gerbang Wetland tidak kelihatan apa-apa tanda. Tidak nampak batu tanda aras yang biasa dijumpai yang ketingian dan lebar seluas satu kaki itu. Mustahil tak jumpa sedangkan kawasan bahu jalan itu sangat luas dan dijaga rapi.


Kemudian melintas ke arah depan pintu Wetland tersebut. Mencari juga di pokok-pokok di antara pembahagi jalan. Kemudian berpatah balik semula baru terlihat plate di atas penutup pembentung longkang. Halus benar! patutlah sukar dilihat bagi stesen nombor B 2037 ini.


Sekarang baru faham maksud di atas culvert longkang dalam Huraian laman sesawang JUPEM. Inilah  culvertnya penutup pembentung longkang di jalan raya. Satu pengalaman dan pengetahuan baru juga.Setiap pemburuan dan pencarian batu pasti memberi seribu satu pengalaman. Ia boleh digunakan sebagai panduan pencarian seterusnya. Banyak berjalan luas pandangan.


Kalau sambil memandu untuk mencarinya pasti terlepas mata memandang. Sebab itulah kena pergi sendiri mencari dengan lebih dekat. Halus sangat batunya pasti tidak mudah dilihat berbanding batu tanda aras yang biasa itu. Koordinat yang dicerap adalah 2.961009 darjah Utara dan 101.697184 darjah Timur.

Selamat memburu!

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...