Km 0 Gua Musang dan Km 0 Pengkalan Kubor


 Hari kedua 16 Februari 2024 perjalanan dari Kuala Lipis hingga ke Kota Bharu. Bersarapan terlebih dahulu di cafe sebelum bergerak keluar meneruskan perjalanan.




Sebelum itu suasana pagi di luar bilik hotel sangat mengasyikkan. Seumpama berada di Cameron Highlands suasana kabus menyelubungi pandangan. Kicauan burung di pagi hari memeriahkan suasana walaupun sejuk dan menyamankan.


Merujuk kepada stesen 9W2DYA-5 altitud ketinggian di bilik hotel adalah 93m dari aras laut. Tidak hairanlah suasana kabus menyelubungi Kuala Lipis. Kelembapan tinggi turut dipengaruhi keadaan muka bumi berbukit-bukau dan kehijauan alam semulajadi hutan belantara.


Pemburuan pertama di Jambatan Tanjung Lipis. Penghujung jambatan ini terdapat satu stesen tanda aras nombor C 2862. BM#84 penghujung jambatan ini menghala ke Jerantut laluan FT234.


Meletakkan jelopi di bahu jalan selepas jambatan ini. Berpatah balik ke jambatan terus ke stesen tanda aras. Pertama kali jumpa batu tanda aras di penghujung jambatan. Pencarian lokasi hujung jambatan sebelum ini kebanyakan telah gagal.


Kejayaan penemuan stesen tanda aras ini hasil dari kajian di laman sesawang Jupem. Ingatkan batu ini telah hilang. Hasil tinjauan menunjukkan batu ini masih kekal seperti yang dinyatakan. Koordinat nombor stesen C 2862 adalah 4.177999 darjah Utara dan 102.056754 darjah Timur.


Seterusnya perjalanan keluar dari Kuala Lipis menuju ke arah Gua Musang. Melepasi Jambatan Padang Tengku laluan FT008. Terdapat batu tanda aras berdekatan penanda jarak Kota Bharu 280km dan km 114.


BM#85 nombor stesen C 2194 di km 114 bahu jalan dikelilingi rumput hijau. Meletak kereta di bahu jalan yang keadaan berumput yang rata. Ini memudahkan pencarian batu tanda aras. Berpatah balik ke batu tanda aras untuk dokumentasi. Koordinat adalah 4.248988 darjah Utara dan 101.974031 darjah timur.


Seterusnya ke hadapan lagi jumpa pula stesen tanda aras nombor stesen C 2226. Berdekatan juga dengan penanda jarak Kuala Lumpur 227km dan km 158. Lokasi juga di simpang Sungai Temau selepas masuk jalan lama semula laluan FT008.


BM#86 nombor stesen C 2226 koordinat adalah 4.490509 darjah Utara dan 101.952587 darjah timur. Melihat batu penanda yang telah tumbang tertera jarak Kota Bharu 236km.


Perjalanan diteruskan ke depan lagi hingga berjumpa stesen tanda aras C 3444. Juga berdekatan dengan penanda jarak Kuala Lumpur 232km dan km 163.  Laluan dari Sungai Temau ini sangat sunyi. Ini memudahkan penulis seberapa banyak mencari stesen tanda aras. Pengguna jalan raya dan penduduk setempat lebih memilih laluan  FT34 Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama.


Oleh kerana, laluan ini sangat lengang dan agak menyeramkan juga. Tidak menjadi masalah untuk terus memburu batu tanda aras. Koordinat adalah 4.520741 darjah Utara dan 101.979051 darjah Timur.


Pemandangan arah ke Merapoh. Jarak Kota Bharu tinggal 231km. Jelopi di bahu jalan diletakkan dengan selamat kerana laluan sangat lengang. 


Selepas masuk semula laluan FT34, melepasi Sungai Yu terus kembali ke jalan lama FT008 ke Merapoh. Jumpa pula penanda Kota Bharu 222km. Stesen tanda aras C 2238 berada  di situ juga. Jalan Merapoh ini juga jarang ada kenderaan. Mudahlah meletak jelopi di bahu jalan.


BM#88 nombor stesen C 2238 di jalan Merapoh dijumpai awal selepas keluar dari jalan laluan FT034. Koordinat 4.592439 darjah Utara dan 101.992972 darjah Timur.


Sepuluh kilometer ke depan lagi telah berjaya menemui BM#89. Nombor stesen C 3448 sebelah kiri jalan Merapoh laluan FT008. Jalan amat lengang sekali. Hanya penduduk kampung dan pengguna yang berhenti rehat di sini sahaja yang ada.


Stesen tanda aras di tepi bahu jalan Merapoh km 182 koordinat 4.676652 darjah Utara dan 102.001095 darjah Timur.


Batu penanda jarak Kota Bharu 212km telah rebah jatuh ke bumi. Walaupun penanda baru telah ditegakkan di lokasi berhampiran, sepatutnya batu ini perlulah dialihkan.


Dua kilometer ke depan lagi telah tiba di Merapoh. Bersebelahan dengan stesen keretapi Merapoh berjaya menemui BM#90. Nombor stesen tanda aras C 2249 di bahu jalan Merapoh. Suasana di sini tidak semeriah sebelum jalan baru dibuka. Merapoh merupakan tempat persinggahan utama sebelum tiba di Gua Musang.


Merapoh juga tempat permulaan pendakian ke puncak Gunung Tahan. Penulis pernah turun ke sini dari Kuala Tahan mendaki puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia itu. Koordinat adalah 4.693346 darjah Utara dan 102.003704 darjah Timur.


Terus pemanduan lima kilometer di hadapan bertemu dengan penanda jalan Kota Bharu 205km. Penanda km189 menemui BM#91 nombor stesen C 2254.


Stesen tanda aras nombor C 2254 koordinat 4.734639 darjah Utara dan 102.011753 darjah Timur. Meletak jelopi sebelum batu tanda aras di bahu jalan berumput. Jalan Merapoh ini masih lengang dan jarang dilalui memudahkan pemburuan batu tanda aras.


Bahu jalan berumput yang luas memudahkan jelopi diletakkan. Penyelenggaraan berjadual dapat mengawal pertumbuhan rumput-rumput di bahu jalan ini. Jika tidak, pasti batu tanda aras ini hilang daripada pandangan mata.


Seterusnya tiba di Gua Musang mencari batu penanda jarak km 0. Berhadapan deretan kedai memudahkan meletak jelopi. Berjalan ke bahu jalan untuk berswafoto seperti kebiasaannya.


Seterusnya memandu ke Pekan Lama Gua Musang melihat perubahan yang dicapai. Kelihatan seperti dahulu juga mengekalkan ciri-ciri pekan lama.


Seterusnya memandu masuk ke kawasan Masjid Razaleigh. Masjid model Masjidil Haram mercu tanda baru di Gua Musang.


Masjid ini dibuka pada tahun 2020 dan menjadi tarikan pengunjung untuk singgah di sini.


Pastilah masjid ini menggamit kenangan kepada pengunjung yang pernah menunaikan Haji dan Umrah model Masjidil Haram di Mekah.


Pemandangan berlatar belakang Bukit-bukit batu kapur yang banyak terdapat di Gua Musang ini. Pengunjung turut bergambar kenangan replika Kaabah. Ini juga dapat menarik minat pengunjung untuk berazam dan bercita-cita menunaikan fardhu Haji dan Umrah. Pastilah kursus bakal-bakal haji diadakan di sini kerana mudah mendapat gambaran awal suasana di sana nanti.


Batu tanda aras pertama negeri Kelantan ditemui di Kota Bharu. Nombor stesen D 1135 BM#92 di hadapan kedai kereta terpakai.


Kedudukan bersebelahan pagar kedai laluan FT003. Koordinat 6.099989 darjah Utara dan 102.011753 darjah Timur. Kemudian ke deretan Hotel Ridel yang mengadap Sungai Kelantan. Makan nasi ayam cincang bersama air teh ais. Cuaca panas terik walaupun matahari sudah jatuh tetap terasa bahangnya.


Ingin mencari hotel di kawasan ini. Memikirkan parkir kereta amatlah susah kuburkan sahaja niat tersebut. Seterusnya pergi ke Dynasty Inn bertanyakan bilik kosong terlebih dahulu. Ternyata ada bilik kosong dan masuk dengan bayaran RM148 semalam. Tempat letak kereta yang luas belakang hotel ini memberi satu kelebihan.


Pemandangan dari bilik hotel Dynasty Inn di tingkat empat menghadap Sungai Kelantan. Semak-samun tanah yang tidak dibangunkan ini menghalang pemandangan sungai tersebut.


Perancangan seterusnya mencari batu penanda jarak km 0 di Pengkalan Kubor. Sebelum keluar solat terlebih dahulu. Ada juga cuba memanggil di frekuensi 145.500MHz tetapi tidak dibalas. Maklumlah ditingkat 4 sekurang-kurangnya pasti audio dapat dicapai oleh stesen yang berhampiran.


Perjalanan melalui Wakaf Bharu sebelum tiba di Pengkalan Kubor. Terlihat di hadapan Balai Polis Wakaf Bharu terdapat batu tanda aras. Nombor stesen D 0854.



Batu tanda aras BM#93 hampir tenggelam dengan kawasan persekitaran. Tinggal bahagian segi tiga yang kelihatan. Koordinat 6.118145 darjah Utara dan 102.193616 darjah Timur.


Terlepas simpang ke Pengkalan Kubor terus ke depan lagi. Belok kiri melalui laluan D174 melalui Pejabat Pos Pengkalan Kubor. Masuk ke Zon Bebas Cukai kelihatan ramai pengunjung sibuk membeli-belah. Penulis hanya melalui kawasan tersebut dan keluar mencari lokasi batu penanda Pengkalan Kubor km 0.


Berdekatan penjuru pagar batu tersebut berdiri megah. Parkir jelopi dihadapan gerai. Berswafoto terlebih dahulu sebelum singgah gerai air kelapa. Membeli satu bungkusan dapat menghilangkan dahaga dalam cuaca yang sangat panas ini. Air kelapa minuman terbaik untuk kesihatan juga.


Berpatah balik semula ke Kota Bharu melalui laluan yang sama. Terlihat satu batu tanda berdekatan dengan tembok rumah penduduk. Meletak jelopi ditepi bahu jalan. Terpaksa melintas jalan untuk ke batu tanda aras. BM#94 nombor stesen D 0935 di tepi jalan Wakaf Bharu.


Batu tanda aras D 0936 yang ketiga ditemui di negeri Kelantan koordinat adalah 6.133003 darjah Utara dan 102.175543 darjah Timur.


Suasana senja dari bilik hotel Dynasty Inn tingkat empat. Sebelah malam keluar mencari makan di sekitar pusat bandar sahaja.


Masih memanggil di frekuensi 145.500MHz pada sebelah malam. Namun, panggilan masih belum disahut juga. Frekuensi lain cuba monitor tetapi turut senyap juga. Tidak seperti beberapa tahun dahulu. Frekuensi di Kota Bharu sangat meriah dengan perbualan setiap stesen. Kadang-kala dapat menerima audio dari negara jiran juga.

Selamat memburu!

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...