T3S Temerloh Titik Tengah Semenanjung, Lanchang


 Temerloh Titik Tengah Semenanjung terletak di Lanchang, Pahang. Rugi rasanya jika tidak ke sini setelah berada di daerah Temerloh. Tahun lepas ada singgah ke sini namun di tutup bagi kerja penyelenggaraan. Kali ini, hari keempat perjalanan ke pantai timur sempat singgah semula.


Nasib baik sempat membayar tiket masuk. Penjaga kaunter memberitahu akan tutup pukul 5.30 petang. Lanjutan masa tersebut melegakanku kerana baru tiba dari Bandar Temerloh. Berbaki 10 minit ketika itu yang sepatutnya tutup jam 5 petang.


Melepasi kaunter tiket terus ke arah monumen. Melepasi gerai jualan dan pelbagai hiasan taman yang indah. Melepasi gantungan payung yang berwarna-warni. Cuaca petang itu sememangnya panas terik. Kemudian melalui pintu gerbang tertulis 'Home is where the heart is Love....being at home'.


Terus laluan pejalan kaki di taman ke kawasan kurungan unggas-unggas. Pelbagai spesies burung dan ayam dipamerkan di sini. Kurungan arnab terdapat juga. Damia suka sangat melihat haiwan-haiwan seperti ini. Pasti dia seronok dapat melihat dan bermain dengan haiwan tersebut.


Inilah monumen Titik Tengah Semenanjung Malaysia yang di bina oleh JUPEM. Tugu memperingati titik tengah Semenanjung Malaysia.


Koordinat Temerloh Titik Tengah Semenanjug yang dicerap oleh aplikasi GPS Waypoint Finder. Kunci betul-betul di tengah atas batu monumen ini. Bacaan koordinat yang diperolehi 3.493549 darjah Utara dan 102.219916 darjah Timur.


Satu papan maklumat berdekatan dengan monumen sebagi rujukan kepada para pengunjung. Ini dapat menambah pengetahuan dan pemahaman tentang monumen ini.

Temerloh Titiak Tengah Semenanjung (T3S)

- Semenanjung Malaysia terbahagi kepada 11 negeri dan 2 wilayah perseketuan dengan keluasan 130,423 kilometer persegi. Pada tahun 2009, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah melakukan kajian bagi penentuan titik tengah Semenanjung Malaysia dengan menggunakan tiga kaedah iaitu 
   = berdasarkan kaedah bentuk rupa bumi Semenanjung Malaysia
   = jisim Semenanjung Malaysia
   = hitungan matematik

- Berdasarkan kepada kaedah-kaedah yang telah dicadangkan, kaedah hitungan matematik merupakan kaedah yang paling sesuai digunakan kerana ianya menghasilkan nilai satu titik konklusif dengan menggunakan formula nilai purata koordinat. Hasil kajian, lokasi titik tengah Semenanjung Malaysia adalah terletak di Kampung Paya Siput berhampiran Pekan Lanchang, Daerah Temerloh, Negeri Pahang.

- Satu monumen telah dibina oleh pihak JUPEM bagi menandakan titik tengah Semenanjung Malaysia ini. Nilai koordinat titik tengah tersebut telah diperolehi daripada cerapan Sistem Penentududukan Sejagat (GPS) dan direkodkan dalam nilai saat terhampir iaitu Latitud 03 darjah 29 minit 33 saat dan Longitud 102 darjah 13 minit 10 saat. Atas persetujuan Kerajaan Negeri Pahang, tititk tengah Semenanjung Malaysia kini dikenali sebagai Temerloh Tititk Tengah Semenanjung (T3S).

Sumber: Jabatan Pemetaan dan Ukur Malaysia (JUPEM)


Sebelah pula infografi peta Semananjung kedudukan T3S serta koordinatnya. Ketinggian Monumen T3S dari aras purata laut: 52.176 meter.


Koordinat T3S di Kampung Paya Siput, Lanchang. Bukti berada di titik tengah Semenanjung merupakan kenangan seumur hidup. 



Monumen T3S di atas arca glob perlulah dijaga dan dipelihara bagi tatapan generasi akan datang. Monumen seperti ini secara tidak langsung menarik minat tentang rupa bumi Malaysia. Subjek geografi, pasti murid akan minat ingin belajar dengan adanya bukti-bukti seperti ini.


Satu lagi monumen disebelah monumen T3S yang menujukkan arah mata angin. Tengah-tengahnya terdapat tujuh tiang yang perlbagai ketinggian. Fungsi sebagai penunjuk arah matahari tidak dapat dikenal pasti pula.


Monumen T3S ketika cahaya petang yang panas menghasilkan reflek di atas lantai mozek yang indah.


Monumen yang mempunyai tiang itu dikeliling bawahnya menunjukkan arah dan jarak sesuatu bandar. Contoh Kuala Lumpur berjarak 70km, manakala Putrajaya berjarak 83km.


Pemandangan persekitaran Temerloh Titik Tengah Semenanjung yang menenangkan fikiran. Elemen langit biru berawan serta air kolam dikelilingi kehijauan. Pastilah dapat menenangkan hati para pengunjung.


Rakaman video menunjukkan bearing arah bandar-bandar utama berserta jarak.


Satu lagi video bermula dari arah kiblat ke monumen T3S. Jarak antara kedua monumen hanyalah beberapa langkah sahaja.


Laluan bersebelahan tasik dipagari pohon bunga. Tengah kolam ini ada air pancut bagi memastikan air ini sentiasa mengalir dan membekalkan oksigen pada hidupan akuatik.


Pemandangan kolam yang menghadap monumen di atas bukit. Aktiviti riadah di sini pasti meninggalkan seribu kenangan.

Pokok pine turut ditanam sepanjang laluan dari monumen ke pintu masuk. Banyak sudut-sudut bergambar kenangan direka bagi tarikan pengunjung.


Ternyata kawasan T3S dikelilingi alam semulajadi menghasilkan lanskap yang indah sekali. Pemandangan sebegini agar sukar dilihat setelah berada di bandar-bandar besar.



Rugilah tidak singgah ke sini, sebelum pergi ke tempat menarik lain disekitar Lanchang ini. 


Rakaman video sekitar kolam pula. Banyak lagi sudut bergambar yang cantik boleh dibidik menggunakan lensa kamera masing-masing.


Papan tanda nama ini telah kehilangan angka 3 darjah pada koordinat yang dipamerkan. Tinggal 29 minit 33 saat darjah Utara sahaja.

Credit MYSA
Sebenarnya selain T3S ini, Temerloh juga memiliki Stesen Penerimaan Data Satelit (Space Operations Complex). Kompleks ini dimiliki oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA). Kompleks berupaya menerima data-data satelit seperti yang dipaparkan dalam gambar di atas. Hanya dapat melihat dari jauh sahaja antena semasa memandu pulang semula ke Bandar Temerloh.

Selamat Memburu!

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...