KM 0 Tok Bali dan Km 0 Kuala Terengganu


 Hari ketiga 17 Februari 2024 perjalanan dari Kota Bharu ke Dungun. Berjaya menjumpai stesen tanda aras iaitu 3 di Kelantan dan 4 di Terengganu. Stesen 9W2DYA-5 serta QRV V40 frekuensi 145.500MHz diaktifkan.


Pagi-pagi lagi sudah menghala ke Pantai Cahaya Bulan (PCB). Memandu dari Kota Bharu mata melilau di bahu-bahu jalan mencari batu tanda aras. Pemanduan sehingga PCB terus letak kereta untuk melihat keindahan pantai di waktu pagi.


Keadaan ombak pagi itu sangat kuat. Musim angin timur menghembus pantai. Elakkan mandi-manda di pantai. Beberapa kejadian lemas hingga meragut nyawa telah berlaku musim cuti sekolah ini. Pantai Cahaya Bulan sudah dibina laluan pejalan kaki dan tembok penahan ombak. Sememang sudah cantik dan semakin menarik untuk berkunjung dan boleh bersiar-siar.


Selepas melepasi selekoh dari PCB terlihat olehku batu yang dicari tertera BM. Tanpa berlengah meletak kereta di bahu jalan. Melintas terus ke batu berdekatan dengan pokok. Semasa ke PCB tidak perasan kerana terlindung daun-daun pokok. 


BM#95 nombor stesen D 0178 berjaya juga jumpa di jalan PCB. Semasa mendokumentasi seorang pekerja pembersihan majlis melihat gelagatku. Terangkan kepadanya batu tanda aras ini. Bertanyakan semula jika ada batu seperti ini di kawasan sekitar. Pekerja tersebut menyatakan tidak pernah melihat kawasan sekitar.


Patutlah tidak nampak batu tanda aras ini, telah terlindung daun pokok bunga . Setelah berpatah balik ke arah Kota Bharu , barulah perasan terdapat batu tanda aras di bahu jalan. Koordinat 6.195609 darjah Utara dan 102.273349 darjah Timur.


Seterusnya menghala semula ke Kota Bharu. Berhenti di sebuah warung untuk bersarapan terlebih dahulu. Memesan nasi kerabu ayam dan teh ais. Sebelum itu, pesan roti telur terlebih dahulu. Oleh kerana, nasi sampai awal. Maka bedal nasi kerabu  dahulu.


Selepas bersarapan pemanduan terus ke Kota Bharu semula. Meletak kereta di Dataran Muhammadi  hadapan pusat perniagaan  berhampiran dengan Muzium Diraja Istana Batu. Kemudian berjalan hadapan Pusat kraftangan menuju Pasar Siti Khadijah.


Pasar besar tumpuan penduduk tempatan dan para pelancong menyajikan pelbagai hasil jualan. Perlu tahu kawasan mengikut jenis barangan yang dijual seperti barang basah atau kering, buah-buahan dan sayur-sayuran, kuih-muih dan pelbagai jenis makanan yang enak serta sedap.


Jeruk bawang putih ini turut boleh didapati dalam pasar ini. Ada peminat yang menanti ketika dibawa pulang.


Serunding daging tempatan mahupun daging import sangat banyak jual di sini. Pembeli boleh memilih mengikut timbangan sehingga satu kilogram sebungkus. Harganya boleh ditawar. Jikalau pandai tawar-menawar mesti dapat harga yang lebih rendah.


Begitu juga dengan keropok-keropok yang pelbagai jenis perisa dan produk yang pelbagai turut menjadi tarikan. Ada juga yang barangan yang sukar diperolehi, namun jika pandai mencarinya pasti boleh dibawa pulang.


Bahagian makanan tidak pernah lengang. Anda peminat makanan pantai timur wajib datang ke Pasar Siti Khadijah ini. Pelbagai jenis makanan dan juadah turut disediakan di sini.


Kuih-muih tradisonal yang jarang dijumpai boleh didapati di sini. Pasti menyesal dan rugi jika tidak mencuba dan membawa pulang.


Puas meronda keluar semula melalui Pusat Kraftangan. Binaan rumah tradisional melayu menyerlahkan senibina yang asli warisan zaman-berzaman.


Perkampungan Kraftangan ini mengumpulkan pelbagi jenis kraf untuk dibawa pulang. Muzium kraftangan boleh dikunjungi pasti memberi seribu satu pengetahuan dan pengalaman baru.


Kemudian pulang semula ke hotel untuk mengemas dan berehat seketika. Destinasi seterusnya ingin berjumpa harmonic seketika di sebuah stesen minyak.


Jumpa harmonic seketika sahaja kerana ada kelas tambahan. Tinggal beberapa subjek lagi bagi menghadapi peperiksaan SPM tahun ini. Ada kesempatan lain, boleh bawa berjalan-jalan pula. Semoga Adani berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM ini.


Selepas berjumpa harmonic terus menghala ke Tok Bali. Terpaksa mengaktifkan google map bagi mencari arah haluan. Maklumlah di Kota Bharu ini banyak simpang. Orang luar yang tidak biasa dengan laluan lebih selamat menggunakan bantuan google map sahaja.


Melepasi Klinik Kesihatan Balai, Bachok terlihat satu batu tanda aras. Tanpa berfikir panjang, berhenti di bahu jalan klinik tersebut. BM#96 nombor stesen D 3243 di Klinik Kesihatan Balai, Bachok.


Batu tanda aras berhampiran tembok klinik seperti kebiasaannya. Lokasi yang pasti ada batu tanda aras adalah Klinik Kesihatan KKM. Koordinat 6.105951 darjah Utara dan 102.373033 darjah Timur.


Seterusnya melepasi SK Badak, Bachok terlihat batu tanda aras di sebelah pintu masuk. Berhenti kereta di bahu jalan. Terpaksa menyeberang jalan untuk ke batu tanda aras.



BM#97 nombor stesen tanda aras D 0159. Plate bertulis Direktorat Pemetaan Negara Malaysia bukannya Jupem. Ini satu penemuan yang menarik di Bachok. Koordinat 6.020074 darjah Utara dan 102.402591 darjah Timur.


Seterusnya menghala ke Tok Bali mencari batu penanda jarak km 0. Berpusing juga mencari. Manakan tidak terlindung?Batu km 0 Tok Bali terlindung dengan penghalang jalan. Terpaksa masuk ke arah Klinik Kesihatan Tok Bali dan meletak kereta di kawasan lapang. Melangkah longkang dan terus ke bahu jalan sebelah penghadang jalan tersebut.


Selesai berswafoto terus ke kedai makan sebelah simpang tiga arah ke Bachok semula. Pesan sup daging bersama telur dadar dan teh ais. WX sangat panas menikmati hidangan terlebih dahulu.


Usai makan terus menghala ke Terengganu. Masuk sahaja negeri Terengganu telah terlihat batu tanda aras. Betul-betul berada di sempadan Kelantan dan Terengganu.  Batu tanda aras pertama negeri Terengganu nombor stesen T 5140.


BM#98 berada di sempadan negeri Kelantan dan Terengganu. Koordinat 5.841248 darjah Utara dan 102.531972 darjah Timur. Ada kesan padaman pada plate nombor siri yang lama.


Melepasi SK Beting Lintang terdapat batu tanda aras di bahu jalan. Bersebelahan dengan tembok sekolah tersebut di kelilingi rumput. Sebelah batu macam ada bekas parit bagi laluan air semasa hujan.


BM#99 nombor stesen T 5160 di Beting Lintang koordinat 5.735133 darjah Utara dan 102.655580 darjah Timur. Terdapat nombor stesen yang lama turut dipadam. Seterusnya singgah masjid berhampiran untuk solat.


Usai solat terus memandu mengikut jalan pantai lagi ke Kuala Terengganu. Batu penanda km 0 Kuala Terengganu ini berhadapan dengan Istana  Maziah. Pusat tumpuan pelancong terutamnya Kedai Payang yang berwajah baru. Lama sungguh tidak ke sini. Banyak perubahan walaupun lokasi kekal di situ.


Batu penanda kilometer kosong Kuala Terengganu menjadi buruan. Kebiasaan orang datang untuk membeli-belah, tapi penulis datang semata mencari batu.


Kemudian bergerak ke kedai makan berhampiran batu penanda ini. Memesan mee goreng basah dan minuman. Mengalas perut sebelum meneruskan kembara ke Dungun pula.


Selesai menjamah terus ke sebelah kedai terdapat satu monumen yang tinggi milik Jabatan Laut Malaysia. Monumen tersebut merupakan Tandarah Suar Taman Syahbandar.


Papan kenyataan menerangkan fungsi Tandarah Suar tersebut. Pengunjung Taman Syahbandar boleh mendapat info melalui papan kenyataan tersebut.


Satu lagi papan kenyataan menunjukkan koordinat Tandarah Suar Taman Syahbandar. Terdapat maklumat Sifat Lampu juga. Kawasan ini berpagar menandakan merupakan kawasan larangan.


Perjalanan diteruskan menghala ke Dungun. Melepasi satu restoran makanan segera ternampak batu tanda aras berwarna putih. Terus himpit ke  tepi bahu jalan. Berpatah balik berjalan kaki dengan beberapa langkah sahaja.


BM#100 nombor stesen T 5137 berhampiran Mekdi. Koordinat 5.317873 darjah Utara dan 103.153927 darjah Timur. Kemudian  terus memandu hingga ke Chenderiang.


BM#101 nombor stesen T 7035 berada di bahu jalan bersebelahan rumah kampung. Sudah cecah 101 stesen tanda aras telah berjaya dicari. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.


Kedudukan batu tanda aras stesen T 7035 berhampiran laluan masuk ke kawasan rumah kampung. Batu ini  juga dicat warna putih. 


Pemanduan terus ke Dungun. Menginap di Hotel Uitm Dungun sangat selesa. Ini merupakan kali kedua menginap di hotel ini. Sebelum itu, meronda ke hujung jalan Pantai Teluk Gadung. Selepas check-in memandu ke Kuala Dungun.


Menikmati pemandangan Kuala Dungun ketika senja melabuhkan tirai. Suasana aman damai dan tenteram di sekitar kawasan ini. Cuaca senja itu sangat baik saat matahari menghilangkan diri.


Ketika matahari semakin hilang dari pandangan mata. Awan gelap menyelubungi seluruh alam. Nasib baik mendung sahaja, bukannya hari hendak hujan. Terus melayan pesanan bagi makan malam itu.


Air di Kuala Dungun ini sangat tenang-tenang sahaja. Ombak di sepanjang pantai sangat kuat. Sama seperti pagi tadi di PCB.


Habis menikmati makan malam, terus balik ke bilik hotel untuk berehat. Cabaran esok menanti mencari lebih banyak batu tanda aras lagi.

Selamat Memburu!

73, Jojet de 9w2dya


No comments:

Post a Comment

Radiosonde RS41-SGP T4040282 di Selat Melaka

  Ahad pagi semalam radiosonde RS41-SGP T4040282 telah muncul di Selat Melaka. Kemungkinan dilepaskan dari Lumut oleh pihak berkuasa keselam...